Persiapan tempuhi cabaran lebih besar

Persiapan tempuhi cabaran lebih besar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Meskipun menang besar dengan mata 70-22 ke atas pasukan Maldives, jurulatih kebangsaan bagi pasukan bola jaring kebangsaan, Thilaka Jinadasa menegaskan masih banyak kelemahan yang perlu diberikan perhatian kepada skuad utama negara yang bakal menyertai Kejohanan Bola Jaring Belia Asia hujung bulan ini nanti.

Beliau ketika ditemui sejurus selepas siri pertama perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Maldives di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini menyatakan corak permainan yang ditunjukkan para pemain bukan seperti yang sering dilihatnya dalam latihan.

“Jika kita bandingkan permainan mereka di dalam dewan serba guna ketika latihan dibuat ia menampakkan sedikit penurunan kerana saya sering melihat para pemain menunjukkan aksi dan gerakan lincah, namun hari ini mereka banyak terpengaruh dengan rentak pihak lawan,” tegasnya.

Selain daripada itu, menurut beliau lagi perkembangan itu mungkin sahaja disebabkan faktor tempat kerana latihan yang dibuat sepanjang bulan Ramadan dan sebelum ini di dewan serba guna bersuhu tinggi berbanding suhu penghawa dingin yang terdapat di stadium tertutup.

Gambar ramai bersama para pemain yang terlibat di dalam siri pertama perlawanan persahabatan an-tarabangsa bersama pasukan Maldives hari ini.
Gambar ramai bersama para pemain yang terlibat di dalam siri pertama perlawanan persahabatan an-tarabangsa bersama pasukan Maldives hari ini.

“Para pemain perlu bertindak balas dengan sauna penghawa dingin kerana di Thailand nanti mereka akan bermain pada suhu yang sama dan tindakan para pemain perlu dibuat dalam beberapa siri perlawanan beberapa hari ini,” tambahnya.

Katanya lagi “Bukan tidak gembira dengan kemenangan mereka hari ini namun cara menang yang perlu difikirkan juga kerana jika kita menang tanpa sebarang pembaikan daripada aspek teknikal maka kita belum menang dalam pembentukan sebuah pasukan yang mantap lagi.”

Beliau optimistik dengan peningkatan para pemain dan menegaskan bahawa permainan yang dihasratkan daripada perlawanan hari ini mencapai objektif yang dihasratkan.

Pada perlawanan hari ini pasukan negara menguasai keseluruhan perlawanan apabila berjaya menembusi pertahanan Maldives dan mendahului 19-4 pada suku pertama, 16-6 pada suku kedua, 17-5 pada suku ketiga dan 16-7 pada suku terakhir.

Sementara itu ketua jurulatih pasukan Maldives, Fazna Jaleel pula menegaskan pasukan negara mempunyai komposisi pemain dan persefahaman yang sangat jitu, selain menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.

Apabila ditanya mengenai kelemahan pemain negara, katanya pasukan Brunei Darussalam bukan mudah untuk dibolosi namun padanya pasukannya berjaya menembusi 22 mata kerana kemahuan para pemainnya untuk memberikan tentangan kepada pasukan Brunei Darussalam.

Pasukan bola jaring kebangsaan esok akan meneruskan aksi dengan menentang pasukan Maldives pada siri kedua pada sebelah malam dan menurut Fazna Jaleel keputusan untuk menentang Brunei Darussalam sebelum acara besar adalah suatu yang tepat.