Persiapan terakhir Sukan SEA

Persiapan terakhir Sukan SEA

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Sebagai persiapan terakhir Sukan SEA yang bakal bermula 29 Mei ini, pasukan Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) akan menjalani latihan selama 10 hari di Jepun sedikit masa lagi dan akan berlepas ke negara matahari terbit itu pada 10 Mei.

Sehubungan dengan itu, Duta Jepun, Puan Yang Terutama (PYT) Noriko Iki menghoskan majlis resepsi selamat jalan di Kedutaan Besar Jepun di Kampung Kiulap dengan majlis hari ini dihadiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Yang Dimuliakan Pehin Datu Indera Sugara Dato Paduka Brigadier Jeneral, Haji Mohd Yusof Abu Bakar serta Setiausaha Agung NFABD, Awang Muhd Zamri Hamdani.

Menurut PYT Noriko Iki, latihan ini adalah kesinambungan usaha sama Jepun dan Brunei di bawah program JENESYS2.0 setelah kejayaan program pertukaran Pasukan Bawah 14 Tahun pada April lalu.

Katanya lagi, program ini juga antara agenda mesyuarat IOC pada Septemebr 2013 sebagai usaha kerajaan Jepun untuk menanam semangat kesukanan di kalangan anak muda sekali gus mempromosikan pergerakan Olimpik dan Paralimpik ke arah yang lebih cemerlang.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Takao Fujiwara atas lantikan beliau menjadi jurulatih Pasukan B-14 Brunei dan berdasarkan jemputan September lalu, Yayasan Jepun bersama Persatuan Bolasepak Jepun dan Liga Profesional Jepun telah membuat jemputan kepada B-23 untuk menjalani latihan sedikit masa lagi,” ujarnya.

Timbalan Presiden NFABD menyampaikan cenderahati kepada Puan Yang Terutama Noriko Iki.
Timbalan Presiden NFABD menyampaikan cenderahati kepada Puan Yang Terutama Noriko Iki.

Timbalan Presiden NFABD turut berucap sebelum menyampaikan cenderahati kepada PYT Noriko Iki dan mengadakan sesi bergambar ramai bersama tetamu.

Majlis yang diadakan hari ini turut disertai warga pengurusan B-23 dan barisan pemain muda yang bakal membawa cabaran di Singapura hujung bulan ini.

Antara pemain yang disenaraikan adalah Ahsanudin Haji Ahmad, Mohamad Nur Azees Ali, Mohd Asnawi Syazni Abdul Aziz, Md Khairil Shahmen Suhaimi, Suhaimi Sulau, Abdul khair Haji Basri, Muhd Nur Ihkmal Damit, Md Aman Haji Abdul Rahim, Mohd Aimmil Rahman Ramlee, Mohd Nadzri Haji Irwan, Awangku Abdul Halim Pengiran Hassan, Saiful Ammar Haji Adis, Mohd Shafie Mohd Effendy, Azri Zahari, Mohd Hanif Hamir, Mohammad Rakin Ramli, Md Nur Syazwan Halidi, Abdul Hafiz Abdul Rahim, Azriel Arman, Mohd Iswandi Abdul Kadir dan Mohd Shahdilah Shahrinee.

Pasukan B-23 tahun ini di bawah Pengurusan Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Mahmud, Awang Stephen Ng Heng Seng (ketua jurulatih), Awang Julkifli Haji Hitam (penolong jurulatih), Awang Sabri Ismail (jurulatih penjaga gawang) Awang Mohammad Faisal Hashim (jurulatih sukan) dan Awang Mahdini Haji Mohamad (Kitman).

ARTIKEL YANG SAMA