PERSIB Belait raih pingat di Malaysia

PERSIB Belait raih pingat di Malaysia

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Persekutuan Pencak Silat Brunei Darussalam (PERSIB) Daerah Belait meraih dua pingat perak dan tiga pingat gangsa ketika menyertai Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Ke-6 bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri 2015 yang berlangsung di Kuantan, Pahang, Malaysia baru-baru ini.

Kejohanan itu berlangsung mulai 15 hingga 20 September lepas di Berjaya Megamall Kuantan, Pahang dan negara-negara yang mengambil bahagian ialah tuan rumah Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Negara Brunei Darussalam, India, Korea and Sudan.

Tuan rumah diwakili oleh Malaysia Elite dan Malaysia IPT. Lebih 800 atlet mengambil bahagian dalam beberapa kategori termasuk Silat, Seni Silat Tunggal dan Kreatif Solo, Regu serta Ganda. Juara keseluruhan dimenangi Pasukan Malaysia Elite.

Menurut pengurus pasukan, Haji Zabidi bin Ali, kejayaan Pasukan PERSIB Daerah Belait tersebut merupakan salah satu persembahan terbaik oleh atlet PERSIB setakat ini.

Pemenang Kreatif Solo, Ariff Yahya dari PERSIB Daerah Belait (dua dari kiri) bersama-sama juara dari Malaysia Elit (tengah) dan pemenang ketiga dari Thailand (dua dari kanan).
Pemenang Kreatif Solo, Ariff Yahya dari PERSIB Daerah Belait (dua dari kiri) bersama-sama juara dari Malaysia Elit (tengah) dan pemenang ketiga dari Thailand (dua dari kanan).

“Kejayaan ini adalah sesuatu yang amat dibanggakan dan saya yakin pasukan sudah menunjukkan peningkatan terutama dalam Kategori Seni seperti Regu dan Solo yang menyumbang dua pingat perak dan bakinya diperoleh daripada Kategori Tanding,” katanya.

Haji Zabidi menambah kata, pasukan itu sebenarnya tidak menetapkan sebarang sasaran kerana mereka hanya mewakili Daerah Belait ke kejohanan berkenaan.

“Ap yang kami tahu negara-negara yang menyertai pertandingan tersebut menghantar pasukan kebangsaan mereka.

“Bagaimanapun pasukan kami berjaya membawa balik lima pingat yang merupakan satu pencapaian hebat,” katanya sambil menambah pasukan mampu mencatatkan kejayaan lebih besar jika membuat persediaan yang lebih baik.