PERSIB bincang dua pertandingan besar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jun – Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam (PERSIB) hari ini mengadakan majlis perjumpaan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi bersama badan perguruan pencak silat yang bergabung dengan badan induk itu di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Mempengerusikan penjumpaan itu ialah Yang Dipertua PERSIB, Pengiran Haji Mohammad Pengiran Haji Ludin yang antaranya membuka tirai perjumpaan dengan ucapan alu-aluan sebelum memulakan mesyuarat di sini.

Antara agenda yang diketengahkan di dalam perjumpaan itu adalah berkaitan dengan Pertandingan Pencak Silat Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-71 Tahun 2017 peringkat kebangsaan.

Selain daripada itu, majlis berkenaan turut membincangkan mengenai Pertandingan Pencak Silat Sempena Menyambut Jubli Emas 50 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta Tahun 2017.

Interaksi antara badan penggiat perguruan pencak silat bersama PERSIB di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Interaksi antara badan penggiat perguruan pencak silat bersama PERSIB di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Di majlis berkenaan turut mendengarkan interaksi perwakilan badan-badan perguruan pencak silat bersama sidang ahli jawatankuasa PERSIB di dalam sesi soal jawab sebelum pernyataan oleh ketua-ketua bahagian di dalam badan induk pencak silat negara ini itu.

Ketika ditemui sejurus selepas perjumpaan berkenaan, Yang Dipertua PERSIB, Pengiran Haji Mohammad menyatakan rasa berbesar hatinya dengan sambutan semua ketua, guru dan perwakilan badan perguruan silat di negara ini untuk menjayakan perjumpaan rasmi yang pertama kali diadakan.

“Hari ini kami semua berpeluang berkumpul dan berbincang bersama dan ia sangat proaktif, selain itu bagi saya, ia memberikan impak positif kepada perkembangan seni pencak silat di negara ini secara umum dan ia sangat menggalakkan,” ujarnya.