PERSIB gesa perpaduan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Semua pihak perlu melihat masa hadapan seni pencak silat supaya ia terus diterima dan relevan di kalangan masyarakat negara ini, malahan dihasratkan pihak pentadbiran dan generasi penerus akan lebih proaktif membangunkan persatuan.

Perkara itu ditegaskan oleh Dipertua Persekutuan Silat Brunei Darussalam (PERSIB), Pengiran Haji Mohamad Pengiran Haji Ludin ketika berucap di sesi perjumpaan bagi persiapan Kejohanan Pencak Silat Sempena 50 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Beliau dalam ucapannya di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas berharap semua badan perguruan akan tampil menyertai kejohanan itu nanti.

“Semua badan dihasratkan akan mempamerkan bentuk silat yang asli kepada semua yang bakal menyaksikan kejohanan dan mana-mana persembahan oleh mana-mana badan perguruan nanti,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan supaya semua ahli dan guru untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam menjayakan mana-mana aspek yang melibatkan badan induk dan badan perguruan sendiri.

Barisan jawatankuasa tertinggi PERSIB di sesi perjumpaan itu.
Barisan jawatankuasa tertinggi PERSIB di sesi perjumpaan itu.

Dalam ucapan beliau lagi turut mengharapkan semua pihak akan mempersiapkan perguruan masing-masing dengan garis pandu dan ketetapan yang dibuat oleh badan induk serta menyarankan supaya semua pihak akan terus bermuzakarah melalui perbincangan yang akan membawa kebaikan kepada perkembangan seni silat negara ini.

Beliau turut menyatakan rasa dukacita apabila terdapat berita yang negatif mengenai persatuan induk dan sikap menyisihkan badan perguruan yang tidak bersikap kekitaan dan terdapat juga yang mempertikaikan kewibawaan PERSIB selaku badan induk seni silat negara ini.

“Semua ini perlu diambil iktibar dan perlu dibincangkan bersama supaya

tidak timbul lagi isu dan berita yang tidak enak ini. Saya yakin PERSIB akan terus positif mengambil sebarang kritikan sebagai medium membangunkan persatuan dan sukan seni silat di negara ini,” ujarnya.

Beliau menambah: “Jika terdapat kemusykilan, semua pihak diseru untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan memenuhi permintaan ekspektasi semua pihak kerana semua boleh diselesaikan sebaik mungkin melalui interaksi yang betul.”