Persidangan AS-ASEAN bincang isu keselamatan serantau

Persidangan AS-ASEAN bincang isu keselamatan serantau

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Bidang keusahawanan dan inovasi, serta bagaimana Amerika Syarikat (AS) dapat memupuk kedua-dua elemen itu dalam Komuniti ASEAN adalah antara beberapa agenda penting yang akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN Pertama yang dijadualkan diadakan di Sunnylands, California, AS pada pertengahan Februari 2016.

Selain itu, turut dibincangkan pada sidang kemuncak yang mempertemukan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama bersama sepuluh orang pemimpin negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) itu termasuk isu-isu berkaitan dengan keselamatan politik serantau seperti anti pengganasan dan memerangi ekstremisme.

Perkara itu didedahkan oleh Duta AS ke ASEAN, Puan Yang Terutama Nina Hachigian ketika bercakap kepada pemberita pada persidangan akhbar yang berlangsung di Hotel Radisson di ibu negara, hari ini.

Hadir sama pada pertemuan media itu ialah Duta AS ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen serta para pegawai dari pejabat kedutaan.

Ketika bercakap mengenai sidang kemuncak tersebut, Puan Yang Terutama berkata, idea untuk menganjurkan sidang kemuncak pertama oleh AS sebagai rakan strategik ASEAN sejak pelancaran Komuniti ASEAN pada awal bulan ini, adalah bagi membolehkan para pemimpin ASEAN membincangkan isu-isu dalam suasana tidak formal dan santai.

Puan Yang Terutama Nina Hachigian bersama Tuan Yang Terutama Craig Allen ketika bercakap kepada pemberita.
Puan Yang Terutama Nina Hachigian bersama Tuan Yang Terutama Craig Allen ketika bercakap kepada pemberita.

“Walaupun agenda perbincangan itu belum dapat kami dedahkan kerana masih dalam peringkat pertimbangan, namun apa yang pasti ialah perbincangan itu akan merangkumi hubungan ekonomi dan hubungan ke arah keselamatan politik,” katanya.

Ditanya mengenai isu anti pengganasan, Puan Yang Terutama berkata, pada Sidang Kemuncak Asia Timur 2015 di Kuala Lumpur pada November lalu antara pemimpin sepuluh negara ASEAN dan lapan negara rakan dialog seperti Rusia, New Zealand, Australia, China, Jepun dan Korea, para pemimpin telah senada mengenai langkah mengekang pengganasan dan menyuarakan kesepakatan untuk membanteras pengganasan dan ekstremisme.

Beliau memuji pendirian negara ini yang menurutnya begitu fokus terhadap usaha-usaha membanteras pengganasan, sambil menambah kata, Asia Tenggara mempunyai ramai pakar yang dapat bergabung idea untuk mengatasi masalah jenayah rentas sempadan yang menjejaskan rantau ini.

Memetik kenyataan pemimpin Malaysia yang menganggap masa kini merupakan zaman keemasan dalam hubungan AS dengan ASEAN, beliau seterusnya menjelaskan, AS menyambut baik gagasan itu dan serentak dengan itu Presiden Obama telah menubuhkan pejabat kedutaan negara itu ke ASEAN yang berpejabat di Jakarta, Indonesia.

Sejajar dengan itu, pada November lalu AS telah meningkatkan status hubungan rakan dialog ASEAN kepada Rakan Strategik ASEAN.

Beliau juga berkata, hubungan AS dengan ASEAN telah pun dijalankan dengan strategik lama sebelum ia diumumkan secara rasmi kerana AS mempunyai jumlah pelaburan terbesar di rantau ASEAN berbanding jumlah pelaburan oleh Jepun, China dan Republik Korea digabungkan.

ASEAN, ujarnya lagi, merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi AS yang telah berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan di rantau ini, maka atas dasar itu negara kuasa besar itu memberikan perhatian penting terhadap kestabilan ekonomi di rantau ASEAN,

Puan Yang Terutama sedang mengadakan lawatan kerja dua hari ke negara ini bermula semalam dan sepanjang berada di negara ini beliau mengadakan pertemuan dengan komuniti usahawan tempatan, pertemuan di Jabatan Perdana Menteri mengenai isu rentas sempadan dan ASEAN.

Beliau juga sempat mengadakan kunjungan ke Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bagi membincangkan mengenai isu perhutanan dan perikanan serta mengadakan junjung ziarah dengan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambasador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

ARTIKEL YANG SAMA