Persidangan ASEAN-China buka tirai

Persidangan ASEAN-China buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10 yang bertemakan ‘Bersama Kita Berkembang Maju sebagai Sahabat, Bersama Kita Berkongsi Kedamaian dan Kemakmuran’ membuka tirainya hari ini di Dewan Tarindak D’Seni, Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan di ibu negara.

Hadir bagi melancarkan Majlis Pelancaran Persidangan pagi tadi ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan China-ASEAN, Gu Xiulian, ketua-ketua dan ahli-ahli delegasi ASEAN, para usahawan, pakar dan cendekiawan dari China dan negara-negara ASEAN.

Pengerusi majlis, Dr. Firdaus bin Abdul Rahman semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, persidangan ini akan dapat membantu menghimpunkan orang-orang dari pelbagai latar belakang di bawah satu platform yang sama selaras dengan tema persidangan dua hari berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. AKP Mochtan, pula menekankan bahawa perhubungan ASEAN-China merupakan fokus hubungan luar negara ASEAN, yang mana ASEAN-China mempunyai perkongsian strategik yang telah lama terjalin.

Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan Anugerah Persahabatan Rakyat ASEAN-China kepada Gu Xiulian.
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan Anugerah Persahabatan Rakyat ASEAN-China kepada Gu Xiulian.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai bersama Presiden Persatuan China-ASEAN, ketua-ketua dan ahli-ahli delegasi ASEAN, para usahawan, pakar dan cendekiawan dari China dan negara-negara ASEAN.

Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan salah satu pameran persidangan yang berlangsung di Dewan Tarindak D’Seni, Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan.
Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan salah satu pameran persidangan yang berlangsung di Dewan Tarindak D’Seni, Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan.

Perdagangan, pelaburan dan hubungan kewangan antara ASEAN dan China, menurutnya, terjalin rapat sehingga saling bergantung di antara satu sama yang lain.

“Dengan pengalaman 10 tahun bersama, saya yakin platform persahabatan rakyat ASEAN-China ini mempunyai kepimpinan dan kebijaksanaan untuk mengukuhkan hubungan dan merealisasikan aspirasi ‘Bersama Kita Berkembang Maju sebagai Sahabat, Bersama Kita Berkongsi Kedamaian dan Kemakmuran’,” ujar beliau.

Turut menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Persahabatan Kemboja-China, Ek Sam Ol, yang antara lain menyatakan komitmen persatuan mereka, kerajaan dan rakyat Kemboja untuk terus membina semula negara mereka untuk menjadi sebuah negara ‘Oasis of Peace’ yang akan menuju ke arah kemajuan, pembangunan dan juga kemakmuran.

Antara para jemputan yang hadir di majlis itu.
Antara para jemputan yang hadir di majlis itu.
Antara aktiviti yang dipamerkan di majlis itu.
Antara aktiviti yang dipamerkan di majlis itu.
Antara persembahan menarik di Majlis Pelancaran Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China.
Antara persembahan menarik di Majlis Pelancaran Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar juga menyampaikan Anugerah Persahabatan Rakyat ASEAN-China kepada Gu Xiulian.

Majlis kemudian disusuli dengan beberapa persembahan, sesi bergambar ramai dan tetamu kehormat majlis juga menyaksikan pameran kebudayaan sebelum persidangan berakhir di Hotel Antarabangsa Rizqun, esok.

Persidangan berkenaan yang sebelumnya digelar Persidangan Persatuan Persahabatan Rakyat ASEAN-China, diasaskan bersama oleh Persatuan Rakyat China bagi Persahabatan dengan Negara-negara Asing, Persatuan China-ASEAN dan persatuan-persatuan persahabatan dengan China di negara-negara ASEAN pada 2006.

Persidangan ini diadakan untuk meningkatkan kepercayaan bersama dan mengembangkan lagi kerjasama pragmatik di antara ASEAN dan China dengan mewujudkan platform komunikasi rakyat.

ARTIKEL YANG SAMA