Persidangan ESAP 26-27 April depan

Persidangan ESAP 26-27 April depan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – CONFEX dengan kerjasama Persatuan Setiausaha dan Profesional Pentadbiran di Asia Pasifik (ASA) akan menganjurkan Persidangan Profesional Setiausaha Eksekutif dan Pentadbiran (ESAP) ke-5 pada 26 dan 27 April ini di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Persidangan dan bengkel dua hari bertemakan ‘Embracing Your New Professional Power: Empowered, Confident, Creative’ itu menggalakkan para profesional pentadbiran awam dan swasta untuk membangun dan meningkatkan kemahiran mereka dalam organisasi masing-masing untuk membuka jalan bagi laluan kerjaya yang berjaya.

Perkara berkenaan telah dijelaskan oleh Pengurus Operasi CONFEX, Dayangku Maznah binti Pengiran Badarudin ketika sidang media yang diadakan di RMS Portview Seafood Restaurant, Tingkat 1, CONFEX Lounge, Jalan Sultan di ibu negara, hari ini.

Eksekutif Projek CONFEX, Dayang Aya Azri pula menjelaskan bahawa majlis penganugerahan ‘Administrative Professional of the Year Award’ akan diadakan semasa persidangan berkenaan bagi menghormati para profesional yang telah membuat sumbangan besar dalam perkhidmatan mereka dengan memainkan peranan yang penting dalam kejayaan sesebuah organisasi.

Di samping persidangan berkenaan, pertandingan anugerah juga akan diadakan, di mana pemenang akan dicalonkan untuk mewakili Negara Brunei Darussalam sebagai Kongres ASA di Manila pada bulan September akan datang.

Alvina Chung (kiri), Dayangku Maznah (tengah) dan Dayang Aya Azri semasa hadir pada sidang media berkenaan.
Alvina Chung (kiri), Dayangku Maznah (tengah) dan Dayang Aya Azri semasa hadir pada sidang media berkenaan.

Penceramah terkemuka yang akan hadir dan juga mengendalikan persidangan dan bengkel berkenaan ialah Presiden ASA, Lilian Coloma dan seorang penceramah motivasi, Tim Wade.

Bengkel perkembangan profesional buat kali pertama akan diadakan pada hari kedua persidangan, yang akan memberi tumpuan kepada latihan ‘Personal Assistants and Secretaries with time/project management and communications’ manakala itu, persidangan sesi petang akan diadakan berdasarkan ‘Book Keeping and Financial Reports’ serta ‘Managing Projects like a Pro’.

“Kami berharap untuk mendapatkan ahli baru ke dalam ESAP dan juga mendapatkan semula ahli kami sebelum ini walaupun kebanyakan daripada mereka telah bersara,” ujar Presiden Kehormat Sepanjang Hayat Persatuan Setiausaha dan Profesional Tadbir (Brunei), ASAP (B), Alvina Chung.

Beliau menambah, menjadi ahli ESAP dapat memberikan manfaat kerana ia adalah satu platform yang membolehkan ahli berjaya dalam kerjaya mereka melalui rangkaian dalam kalangan anggota sektor awam dan swasta yang lain dari beberapa rantau ASEAN dan Asia Pasifik.

Para pemohon tempatan dan asing profesional dengan tidak kurang daripada tiga tahun pengalaman kerja, dengan latar belakang yang berorientasikan pelanggan, yang komited untuk membangunkan kerjaya mereka, dan ahli-ahli ESAP dialu-alukan untuk mendaftar bagi Pertandingan Anugerah ESAP hingga 31 Mac 2016.

ARTIKEL YANG SAMA