Persidangan Makanan dan Pelaburan Biotech Antarabangsa

Persidangan Makanan dan Pelaburan Biotech Antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Persidangan Makanan Antarabangsa dan Pelaburan Biotech selama tiga hari akan berlangsung mulai 12 hingga 14 Mei ini bertempat di The Empire Hotel and Country Club.

Sebagai menandakan acara pelancaran rasmi Koridor BioInovasi Brunei (BIC), persidangan itu turut membawa para penceramah berpengaruh dan bakal pelabur dari seluruh dunia ke negara ini, dengan tujuan membincangkan pelbagai tajuk berkaitan ekonomi ASEAN dan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan akan bermula dengan ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya Bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.

Di antara para penceramah terkenal yang akan membentangkan kertas kerja mereka ialah Sir James A. Mirrlees, pemenang Anugerah Nobel dalam Sains Ekonomi pada 1996, yang akan mengupas mengenai kedudukan ekonomi dunia masa kini; Xu Ning Ning, Eksekutif Presiden Majlis Sekretariat Perniagaan China-ASEAN yang akan membincangkan mengenai kepentingan penubuhan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) selain Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21; dan juga Wei Ren, Timbalan Setiausaha Parti, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang yang akan membentangkan kertas kerja mengenai kerjasama dengan Negara Brunei Darussalam dengan pembangunan Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi (BGEC).

Selaras dengan “Wawasan 2035”, Visi bagi tahun 2035, negara ini menyasarkan untuk mempelbagaikan ekonominya dengan memperkenalkan industri teras baru dan dengan menarik lebih banyak pelaburan asing. Ke arah ini, BIC adalah inisiatif kebangsaan untuk kepelbagaian secara berkesan dan kekal bersaing.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sudah mewujudkan persekitaran yang digambarkan dengan kestabilan politik dan iklim ekonomi. Dengan kedudukannya yang sedia mantap, Negara Brunei Darussalam berusaha untuk mempromosi persekitaran perniagaan yang inovatif dan menggalakkan pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) demi mewujudkan ekonomi yang dinamik serta mapan bagi generasi yang akan datang.

BIC juga merupakan projek penting untuk memelihara guna tenaga tempatan dan pelaburan asing. Salah satu objektif penting persidangan ialah untuk mendemonstrasikan potensi BIC selain kelebihan melabur di Negara Brunei Darussalam kepada pemegang saham luar negara.

BIC berhasrat untuk mewujudkan persekitaran pelbagai guna untuk memenuhi permintaan bagi teknologi penyelidikan dan inovatif.

Negara Brunei Darussalam terletak pada lokasi strategik di Asia Tenggara, sekali gus sesuai untuk membangunkan aktiviti eksport dan logistik. Di lokasi seluas 466 hektar, BIC berhasrat menyediakan sehingga 28,000 peluang pekerjaan sepenuh masa, dengan sejumlah 9,500 jawatan adalah berkaitan dengan pemprosesan makanan.

BIC pada masa ini menjalani rancangan pembangunan Fasa 1 (seluas 37 hektar yang dibahagikan kepada 25 petak) dengan para pelabur. Kira-kira 30 % atau sehingga 195 hektar tanah akan dikenal pasti bagi penggunaan industri, dan 25 % tanah akan diperuntukkan bagi ruang hijau.