Persidangan Perlindungan Pengguna 14 Dis

Persidangan Perlindungan Pengguna 14 Dis

BANGKOK, 11 Dis (Bernama) – Persidangan Perlindungan Pengguna ASEAN ke-2 (ACPC) akan diadakan pada 14-15 Disember di Bangkok bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu perlindungan pengguna di ASEAN.

Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan berkata ACPC akan membincangkan tentang undang-undang keselamatan produk pengguna, penggunaan jaminan dan isu-isu penguatkuasaan.

“ACPC akan membincangkan reka bentuk institusi dan keberkesanan agensi pengguna dan persaingan serta melihat trend masa depan seperti penggunaan berterusan dan pengguna moden ASEAN,” kata sekretariat itu.

Perbincangan persidangan itu akan disokong oleh Ikhtisar dan Kajian Kes Perlindungan Pengguna ASEAN: Bimbingan Dasar (Volum II).

“Ia mengandungi 12 ikhtisar dasar dan dua kajian kes yang melihat kepada isu-isu perlindungan pengguna dan bagaimana ia muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Perbincangan daripada ACPC juga akan memudahkan pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik ASEAN bagi Perlindungan Pengguna (2016-2025), yang mencarta hasil kerja Jawatankuasa ASEAN bagi Perlindungan Pengguna untuk tempoh 10 tahun akan datang,” kata sekretariat itu.

Persidangan ACPC Ke-2 akan dihoskan oleh Office of the Consumer Protection Board of Thailand dan disokong oleh Program Kerjasama Pembangunan ASEAN-Australia Fasa II sebagai sebahagian daripada projek lebih besar bertajuk ‘Menyokong Penyelidikan dan Dialog dalam Perlindungan pengguna’ secara kerjasama dengan Sekretariat ASEAN.

Lebih 100 wakil daripada agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan organisasi pengguna akan menyertai persidangan itu.

ARTIKEL YANG SAMA