Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China 4 November ini

Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China 4 November ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China kali ke-10 akan diadakan di sini pada 4 November ini dengan membawa tema ‘Bersama Kita Berkembang Maju sebagai Sahabat, Bersama Kita Berkongsi Kedamaian dan Kemakmuran’.

Persidangan itu nanti akan menumpukan ke atas dua topik, iaitu bagaimana untuk mencapai kemakmuran ekonomi sebagai sebuah komuniti melalui sektor-sektor bukan kerajaan dan bagaimana bersama-sama membangunkan koridor pertukaran mesra di antara semua rakyat.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, para usahawan, pakar dan cendekiawan dari China dan negara-negara ASEAN dijemput bagi pertukaran dan perbincangan lanjut.

Persidangan yang sebelumnya digelar Persidangan Persatuan Persahabatan Rakyat ASEAN-China, diasaskan bersama oleh Persatuan Rakyat China bagi Persahabatan dengan Negara-negara Asing, Persatuan China-ASEAN dan persatuan-persatuan persahabatan dengan China di negara-negara ASEAN pada tahun 2006.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan bersama dan mengembangkan lagi kerjasama pragmatik di antara ASEAN dan China dengan mewujudkan platform komunikasi rakyat.

China dan negara-negara ASEAN bergilir-gilir menganjurkan persidangan ini setiap tahun (yang akan diadakan setiap dua tahun bermula tahun ini).

Setakat ini, persidangan telah diadakan di China, Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina, yang mana, sejak sembilan tahun lalu, ia telah membuat sumbangan signifikan kepada pertukaran dan kerjasama di antara China dan negara-negara ASEAN.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai salah satu pengasas persidangan berkenaan, Persatuan Persahabatan Brunei-China secara aktif telah terlibat dalam pembangunan hubungan mesra di antara Brunei dan negara-negara ASEAN.

Ini merupakan kali kedua persatuan berkenaan menghoskan persidangan tersebut selepas kali pertama pada 2007.