Persidangan Wanita Serantau 15 Okt ini

Persidangan Wanita Serantau 15 Okt ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI  BEGAWAN, 2 Sept – Buat julung-julung kalinya, Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW) akan menganjurkan Persidangan Wanita Serantau 2016 untuk mendalami kefahaman dan penghayatan tentang keperibadian Muslimah di zaman Rasulullah S.A.W serta menambah pengetahuan mengenai tokoh-tokoh Muslimah di Negara Brunei Darussalam dan serantau.

Persidangan yang akan membawa tema ‘Keperibadian Muslimah Misali Paksi Kecemerlangan Ummah’ itu akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada 15 Oktober 2016.

Bercakap pada sidang media yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, di sini, hari ini, Presiden PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin berkata, pada persidangan itu nanti beberapa kertas kerja akan dibentangkan bagi mencapai objektif yang telah digariskan.

Penceramah-penceramah dari dalam dan luar negara telah pun dijemput bagi membentangkan kertas kerja masing-masing, termasuk Dr. Lily Suzana binti Haji Shamsu (Brunei Darussalam), Kurnia Irawati Istadi dari Indonesia, Dr. Norsaleha binti Mohd Salleh dari Malaysia dan Suriati Abdullah dari Singapura.

Menurut beliau lagi, Dr. Lily akan membentangkan ucaptama bertajuk ‘Muslimah Brunei dalam Pembangunan Negara: Prospek dan cabaran’, kemudian diikuti sesi Plenari 1 dengan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Penghayatan Akidah Mendepani Cabaran Sosial Pascamoden’ oleh Dr. Hajah Norsaleha.

Pengiran Hajah Zabaidah bercakap pada sidang media di Hotel Orchid Garden, kelmarin.
Pengiran Hajah Zabaidah bercakap pada sidang media di Hotel Orchid Garden, kelmarin.

Persidangan akan diteruskan pada sebelah petang dalam sesi Plenari 2 dengan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Identiti Wanita Melayu Islam Di Kurun 21M: Tradisi dan Modenisasi’ oleh Pengiran Dr. Hajah Nur-Ashikin binti Pengiran Haji Petra dan Plenari 3 pula akan mengetengahkan pembentangan kertas kerja yang menarik oleh Suriati Abdullah iaitu ‘Pornografi dan Jenayah Siber di Asia Tenggara: Perspektif dari Singapura dan Cabaran-cabaran terhadap jati diri Muslimah dan Keluarga’.

Seterusnya persidangan diteruskan pada Plenari 4 yang bertajuk ‘Membangun Peradaban Islam Sesuai dengan Keteladanan Rasulullah S.A.W dan Sahabat Muslimah’.

Pengiran Hajah Zabaidah juga berkata, pendaftaran telah dibukakan kepada sesiapa sahaja termasuk dari perkhidmatan kerajaan, sektor swasta, persatuan dan orang perseorangan atau pun para pelajar yang berminat sama ada dalam atau luar negara. Pendaftaran awal sebelum 5 Oktober 2016, pukul 4.30 petang, dan secara berkumpulan yang melebihi 10 orang akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus.

Untuk maklumat dan keterangan lebih lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi talian 8866540 (Dayang Zainab), 8772502 (Dr. Hajah Hairuni) dan 8741005 (Hajah Gazala).

ARTIKEL YANG SAMA