Persija bawa misi besar bertemu JDT

JOHOR BAHRU, 13 Feb – Kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta mempunyai misi besar apabila turun bertemu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi perlawanan Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Penyerangnya Rudi Widodo berkata mengutip satu mata daripada perlawanan itu sahaja tidak cukup kerana jika boleh, mereka mahu menewaskan JDT di depan peminat mereka sendiri.

“Kami telah sepakat untuk tidak akan kalah kerana kami ada Bambang Pamungkas. Dia adalah pemain contoh dan pemain terbaik di negara kami dan dari dia, kami mendapat motivasi yang banyak agar tidak cepat gentar dan berusaha lebih keras,” kata Rudi dalam sidang media pra perlawanan di sini, hari ini.

Seperti Rudi, Ketua Jurulatih Persija, Alesandro Steffano Cuggura Rodrigues juga senada dalam hal itu.

Beliau berkata ketiadaan penyerang sensasi mereka Marko Simic bukan penghalang untuk kelab mereka mencipta kejutan kerana pihaknya tidak hanya meletakkan harapan jaringan gol pada Simic semata-mata malah meliputi kesemua pemain.

Safiq Rahim (kanan, dua) dan Rudi Widodo bersalaman selepas sidang akhbar pra perlawanan Piala AFC JDT dan Persija Jakarta hari ini. – Bernama

“Simic sebelum ini pernah bermain bersama Negeri Sembilan dan Melaka, dia juga pernah menentang JDT jadi kita mempunyai maklumat yang cukup tentang corak permainan pasukan lawan.

Akan tetapi, semua pemain JDT adalah pemain yang hebat dan oleh itu, saya telah menasihatkan pasukan agar berhati-hati dengan penyerang pasukan JDT,” katanya.

Beliau juga berkata biarpun sudah 16 tahun Persija tidak beraksi di persada AFC namun ia tetap mahu berusaha keras bagi mengutip sekurang-kurangnya keputusan seri.

Sementara itu, kapten pasukan Harimau Selatan, Safiq Rahim berkata kelebihan bermain di tempat sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pemain esok bagi melakarkan kemenangan bergaya. – Bernama