Persijilan halal perlu kemas

Persijilan halal perlu kemas

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan proses mempercepatkan tempoh kelulusan permohonan sijil halal dan permit halal dari sudut yang menyangkut perkara hukum halal-haram adalah tidak wajar untuk mengambil jalan pintas.

Sebaliknya ia mesti kemas dan penuh teliti berdasarkan garis pandu syarak yang benar-benar syarie, bukannya setakat untuk melariskan sijil dan permit halal itu, tegas Baginda.

“Hukum halal-haram makanan adalah ia tersendiri, memerlukan orang-orang yang betul tahu dan mengerti apa itu halal, apa itu haram dan jika mereka tidak tahu atau faham semua ini bagaimanakah boleh dijamin makanan atau hidangan yang dijual itu adalah halal.

“Kita tidak mahu Brunei akan jadi seperti tempat-tempat lain yang sering kedengaran ada yang berlaku penyelewengan atau pelanggaran hukum oleh premis-premis makanan dan perdagangan.”

Baginda Sultan bertitah sedemikian pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Bagi Tahun 1437H / 2016M di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah.
Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada johan Kategori A, Awang Muhammad Nurhidayatullah Al-Mu’min.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan hadiah kepada johan Kategori A, Awang Muhammad Nurhidayatullah Al-Mu’min.

Menyentuh mengenai majlis sambutan berkenaan, Baginda bertitah bahawa telah menjadi tradisi kita umat Islam pada setiap 17 Ramadan, kita akan mengadakan sambutan Nuzul Al-Quran.

“Boleh dikatakan tradisi ini juga turut berlaku di mana-mana di seluruh dunia.”

Titah Baginda lagi, Nuzul Al-Quran adalah satu peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadan. Nuzul ertinya kitab suci Al-Quran diturunkan, kitab ini adalah kitab induk untuk menjadi panduan bagi seluruh umat manusia.

“Kitab agung ini juga diberi nama sebagai An-Nur yang bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan yang bererti kitab yang dapat memandu untuk membezakan antara yang hak dan batil atau Az-Zikr yang bermaksud kitab yang memberi peringatan.

“Memperkatakan keagungan kitab suci Al-Quran ini, kita di negara ini, Beta percaya, telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu di dalamnya sebagai panduan.”

Ini, tambah Baginda, sesuai dengan firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Baqarah ayat 2, tafsirnya ‘Itulah kitab Al-Quran yang tidak ada keraguan padanya, ia adalah pentunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.’

“Kerajaan Beta pula melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama telah tidak kendur-kendur berusaha untuk mendekatkan masyarakat Islam di negara ini dengan Al-Quran iaitu dengan memasukkan subjek Al-Quran itu di setiap sekolah rendah kerajaan dan swasta sehingga sampai peringkat tertinggi dan juga membuka kelas-kelas belajar Al-Quran di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat serta kelas-kelas dewasa.”

Menurut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, perkara ini dilaksanakan supaya masyarakat Islam di negara ini sentiasa berpegang dengan Al-Quran sebagai panduan.

“Untuk menghormati Ramadan, sebagai bulan Al-Quran, kerajaan Beta memendekkan waktu bekerja dari jam 7:45 pagi hingga 4:30 petang kepada 8 pagi sehingga 2 petang. Perkara ini juga dibuat untuk memberikan kemudahan dan keselesaan bagi kita semua menunaikan kewajipan berpuasa.

“Sementara pada malamnya pula, semua masjid, surau dan balai ibadat mengadakan sembahyang Tarawih dan bertadarus sebagai langkah menghayati ibadat berkenaan sambil mengharap-harap akan mendapat pahala Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan,” titah Baginda.

Sementara itu, mengulas mengenai tema sambutan tahun ini, ‘Al-Quran sebagai Ubat dan Penawar bagi Rohani dan Jasmani’, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa ia amat sesuai untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita, tidak kira sama ada kita dalam keadaan sihat ataupun sebaliknya.

Ini adalah satu ungkapan supaya kita sentiasa membaca dan melaksanakan apa-apa jua yang terkandung di dalamnya, titah Baginda lagi.

“Mengambil sukut baik di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini marilah kita memperbanyakkan amal kebajikan yang dituntut untuk kita melakukannya. Semoga dengan itu rahmat Allah S.W.T akan melimpah-limpah kepada kita dan juga kepada negara. Amin!”

ARTIKEL YANG SAMA