Pertahan hak komuniti perniagaan

Pertahan hak komuniti perniagaan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Persatuan Timbang Tara Brunei Darussalam (AABD) dan Forum Perniagaan Britain Brunei (BBBF), hari ini, telah mengundang komuniti perniagaan dan usahawan Brunei untuk membincangkan mengenai Mahkamah Komersial Brunei yang baru ditubuhkan.

Dalam perbincangan yang diadakan di Bilik Pameran Indera Motors Land Rover/Jaguar itu, Naib Presiden Bahagian Sivil Mahkamah Rayuan, Martin James Moore-Bick yang juga pakar dalam undang-undang komersial telah mengongsikan pandangan beliau tentang peranan penting mahkamah baru Brunei itu kepada sektor swasta.

Beliau menjelaskan bahawa tujuan utama mahkamah sivil adalah untuk menguatkuasakan undang-undang, supaya orang ramai secara keseluruhan boleh mengatur urusan mereka dengan penuh keyakinan di mana hak-hak akan dipertahankan dan tanggungjawab/kewajipan dikuatkuasakan mengikut sistem undang-undang yang stabil, yang mudah diakses dengan sendirinya.

“Ini (Mahkamah Komersial) terutamanya penting bagi ahli-ahli perniagaan yang mengeluarkan modal dengan harapan untuk mendapat keuntungan jika usaha sama itu berjaya. Keyakinan terhadap mahkamah merupakan faktor kritikal dalam menjana pelaburan, sama ada di dalam negara atau dari luar negara,” jelas Martin James Moore-Bick.

Beliau menambah, kita semua terikat dengan satu rangkaian kontrak dan kita mengharapkan mahkamah untuk menguatkuasakannya dengan cara yang adil, bebas daripada pengaruh luar.

(Dari kiri-kanan) Martin James Moore-Bick (kiri), David Campbell, Dr. Colin Ong dan Haji Shazali dan ketika membincangkan mengenai Mahkamah Komersial.
(Dari kiri-kanan) Martin James Moore-Bick (kiri), David Campbell, Dr. Colin Ong dan Haji Shazali dan ketika membincangkan mengenai Mahkamah Komersial.

“Mahkamah Komersial melaksanakan peranan berkenaan bagi komuniti perniagaan,” ujarnya lagi.

Di majlis berkenaan, barisan panel yang terdiri daripada Haji Shazali bin Sulaiman yang mewakili BBBF dan Presiden AABD, Dr. Colin Ong telah membincangkan bagaimana mahkamah baru berkenaan akan memberi manfaat kepada sektor swasta dan ekonomi Brunei secara lebih meluas.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, David Campbell telah mempengerusikan perbincangan berkenaan dan menyatakan bahawa membangunkan Mahkamah Komersial merupakan bahagian penting dalam agenda ‘Ease of Doing Business’ dan boleh menyokong kemasukan pelaburan.

Di peringkat global, katanya, perniagaan tempatan, usahawan dan pelabur asing mencari sistem perundangan yang dapat diramal, dengan badan kehakiman yang kukuh dan bebas serta jaminan bahawa kes mereka akan dikendalikan secara profesional dan cekap.

“Sistem perundangan Brunei adalah berdasarkan ‘English Common Law’. Ramai daripada profesional dalam bidang perundangan di Brunei telah belajar di UK. Ini membuatkan kami menjadi rakan kongsi natural untuk berkongsi pengalaman mahkamah komersial dan belajar daripada satu sama lain,” tambah beliau.

Manakala itu, Dr. Colin Ong pula berkata, Mahkamah Komersial yang baru di Brunei akan setentunya meningkatkan keupayaannya untuk menyediakan cara yang boleh dipercayai dan efisien kepada pihak-pihak pelabur dan komersial untuk menyelesaikan pertikaian mereka.

“Ia memberikan mesej yang sangat positif kepada dunia bahawa Brunei mempunyai bidang kuasa selamat yang mematuhi peraturan perundangan dan undang-undang moden yang mesra perniagaan. Ia setentunya memberikan Brunei potensi baru untuk berkembang menjadi pusat perdagangan dan salah satu harapan bagi meneruskan pembangunan ke arah ini,” tambah Dr. Colin.

Pengerusi BBBF, Andrew Varley dalam kenyataan akhbar pula telah menyatakan, penubuhan Mahkamah Komersial di Brunei merupakan bahagian penting untuk meyakinkan para pelabur bahawa negara ini adalah serius dalam melindungi pelabur dan perniagaannya.

“Ini akan menjadi rangsangan utama kepada keupayaan Brunei menarik dan mengekalkan pelaburan langsung asing dalam programnya yang berterusan untuk meningkatkan sumbangan sektor swasta kepada ekonomi,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA