Pertahan sekuriti pekerjaan

Pertahan sekuriti pekerjaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Kerajaan akan dengan sedaya-upaya mempertahankan sekuriti pekerjaan anak-anak tempatan dalam sektor minyak dan gas walaupun iklim ekonomi pada masa ini adalah mencabar.

Menurut Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar (gambar), pihak kerajaan sangat menitikberatkan perkara ini.

“Saya ingin menyampaikan bahawa pihak kerajaan telah berusaha dengan gigih dalam bermuzakarah dan mendengar suara-suara anak-anak tempatan di beberapa syarikat-syarikat minyak dan gas untuk melihat realiti yang sebenar.”

Yang Berhormat Pehin menekankan perkara ini ketika menyentuh mengenai isu-isu pekerjaan anak-anak tempatan di sektor minyak dan gas dalam ucapan penangguhannya di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang untuk hari ini.

pg01_160323_a

Beliau juga berkata bahawa pihak kerajaan telah banyak membantu anak-anak tempatan yang bekerja di syarikat-syarikat minyak dan gas secara terbuka mahupun secara tertutup.

“Pihak kerajaan juga membuat penelitian isu-isu pekerjaan anak-anak tempatan secara komprehensif, holistik dan menyeluruh serta melibatkan segala pihak dan stakeholders yang berkenaan dan bukan mendengar daripada satu pihak sahaja.”

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya itu juga menyeru jikalau masih ada isu-isu yang belum diselesaikan, pihak berkenaan boleh berunding dengan pihaknya yang sentiasa mengambil berat tentang perkara itu.

“Namun demikian, pihak Jabatan Tenaga dan Perindustrian akan terus memantau dan sentiasa proaktif dalam perkara ini, misalnya, dalam menegaskan konsep rollover, pada masa yang sama, anak-anak tempatan disarankan untuk memantapkan prestasi kerja dan disiplin yang baik kerana sememangnya aspek-aspek ini adalah asas penting bagi pengekalan pekerjaan seseorang di dalam sektor minyak dan gas negara.”

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa pergantungan ekonomi kepada sumber minyak dan gas menjadikan ekonomi negara mudah terjejas kerana harga minyak yang tidak stabil.

Beliau menambah bahawa usaha-usaha dalam mempelbagaikan ekonomi akan diteruskan dan diperkembangkan melalui proses kajian pelaburan langsung asing yang baru dan menyediakan prasarana yang kondusif supaya negara dikenali sebagai destinasi yang pro-bisnes, berkonsepkan ekonomi digital dan menggalakkan usahawan-usahawan untuk memajukan perniagaannya melalui inovasi sebagai hala tuju ekonomi yang akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA