Pertahan tulisan Jawi

Pertahan tulisan Jawi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Tulisan Jawi merupakan warisan khazanah yang perlu dipertahankan kerana ia adalah identiti bangsa sekali gus melambangkan falsafah negara sebagai Melayu Islam Beraja.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pemangku Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Adanan bin Haji Basar semasa merasmikan Bengkel Kaedah Ejaan Jawi yang berlangsung di Dewan Ta’lim, kolej universiti tersebut, hari ini.

Bagi KUPU SB pula, tambah beliau, pengajian Jawi merupakan salah satu kursus wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar, di mana tulisan jawi sudah lama digunakan dan merupakan media asas dalam penulisan dan juga pengajian.

“KUPU SB telah merancang agar semua programnya nanti, Insya-Allah akan mewajibkan semua pelajar di peringkat diploma, sarjana muda, diploma lepas ijazah dan juga sarjana untuk mengikuti kemahiran Jawi. Ini kerana aset atau kekuatan Negara Brunei Darussalam khususnya bagi para warga KUPUSB adalah tulisan Jawi,” jelasnya lagi.

Pemangku Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB semasa menyampaikan ucapan.
Pemangku Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB semasa menyampaikan ucapan.
Antara yang hadir pada bengkel itu kelmarin.
Antara yang hadir pada bengkel itu kelmarin.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Awang Azman bin Haji Kassim selaku pengerusi majlis dalam ucapannya pula menyatakan, bengkel ini merupakan salah satu perancangan bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran ejaan Jawi dalam kalangan warga KUPU SB.

Dua sesi telah dijalankan bagi merealisasikan hasrat tersebut yang dikhususkan kepada kakitangan bukan akademik yang berlangsung pada 3 Jun, 9 dan 29 Disember 2015 yang lalu.

Program ini juga sebagai inisiatif memupuk kecintaan terhadap peradaban warisan khazanah Melayu, di samping memperkasa pemupukan penggunaan tulisan dan ejaan jawi sebagai budaya harian dalam kalangan warga KUPUSB.

Bengkel yang disertai oleh seramai 120 orang yang terdiri daripada kakitangan akademik dan bukan akademik KUPU SB itu akan diadakan selama dua hari hingga esok.

Penganjurannya diharap akan dapat mengatasi masalah penggunaan Jawi dalam kalangan warga KUPU SB serta dapat menjaga keaslian ejaan, makna dan sebutan perkataan yang diambil daripada perkataan Bahasa Arab.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Juru Tulis Jawi Kanan, Unit Pelaksanaan Bahasa dan Unit Jawi, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Haji Alias bin Ghafar bersama Pegawai Bahasa, Unit Jawi, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Raieham bin Mohd Salleh.

Majlis perasmian pagi tadi itu turut diserikan dengan pertunjukan demonstrasi ciri JawiAT oleh Penolong Ra’es KUPU SB, Haji Abang Hazmin bin Abang Haji Taha dan persembahan tausyeh oleh kumpulan tausyeh dari Aceh, Republik Indonesia.