Pertahanan Schalke sertai Liverpool

Pertahanan Schalke sertai Liverpool

LONDON, 16 Feb – Pertahanan kelab Schalke, Joel Matip, bakal menyertai Liverpool pada akhir musim ini. Pemindahan pemain itu adalah secara percuma apabila kontraknya bersama kelab dari Bundesliga itu tamat pada musim panas ini.

Matip dilaporkan akan mengikat kontrak selama empat tahun di Anfield. Dalam satu kenyataan dari laman web rasmi kelab Jerman itu, Schalke mengesahkan kegagalan mereka dalam usaha meyakinkan pemain berusia 24 tahun itu untuk terus kekal bersama pasukan.

Matip memberitahu: “Saya selalu berkata yang saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada Schalke hanya kerana satu sebab…untuk mencari sesuatu yang baharu.

“Disebabkan itu, pemindahan di dalam Bundesliga tidak akan menjadi satu pilihan buat saya.

“Meskipun keputusan saya bukan sesuatu yang mudah, saya yakin inilah masa sesuai untuk saya meneruskan langkah ini.”

Matip dilaporkan akan mengikat kontrak selama empat tahun di Anfield. – Reuters
Matip dilaporkan akan mengikat kontrak selama empat tahun di Anfield. – Reuters

Beliau menambah: “Schalke kekal menjadi sebuah keluarga besar buat saya. Saya sentiasa bangga untuk bermain bersama kelab besar ini.

“Saya akan melakukan apa saja termampu dalam tempoh beberapa bulan ini bagi membantu pasukan. Saya terhutang budi kepada penyokong dan juga pasukan.”

Sementara itu, Ketua Eksekutif Schalke, Horst Heldt, berkata terdapat beberapa faktor yang menjadi penentu kepada keputusan Matip dan mereka tidak mampu mempengaruhinya.

Matip mula beraksi dalam kancah Bundesliga pada usia 18 tahun, bermain di barisan tengah dan pernah menjaringkan gol ketika pasukan terikat 1-1 dengan Bayern Munich pada Novemer 2009. Beliau mempunyai 200 penampilan bersama kelab senior. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA