Pertahankan nilai-nilai budaya

Pertahankan nilai-nilai budaya

Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Generasi muda pada masa ini sedang mengalami kereputan nilai budaya dan kefahaman dalam kalangan mereka di mana jika ketidakseimbangan itu tidak ditangani secara efektif ia mungkin membawa kepada kerosakan fabrik masyarakat serta boleh membawa kepada membuat keputusan politik dan ekonomi yang tidak rasional.

Oleh itu, rasa kemasyarakatan atau komuniti harus dipertahankan dengan tanggungjawab untuk melindungi, memulihara dan mempromosikan nilai-nilai budaya harus diwariskan kepada golongan belia.

Dalam hubungan itu, amat penting untuk melibatkan generasi muda berkenaan dalam usaha untuk mempertahankan nilai-nilai budaya tersebut kerana bukan sahaja mereka akan terus ingat kepada budaya mereka tetapi yang lebih penting mereka akan menghargai, menilai serta menyampaikan budaya itu sebagai cara hidup kepada generasi akan datang.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) ke-7 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyatakan, juga tidak kurang penting adalah perlunya untuk menumpukan dan memupuk peranan generasi muda dan komuniti setempat untuk terus memulihara warisan mereka.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama menteri-menteri ASEAN bagi Kebudayaan dan Kesenian bergambar ramai selepas Majlis Perasmian Mesyuarat AMCA ke-7.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama menteri-menteri ASEAN bagi Kebudayaan dan Kesenian bergambar ramai selepas Majlis Perasmian Mesyuarat AMCA ke-7.

Dalam hubungan itu, seluruh badan pentadbiran harus bekerja keras untuk menjana, membangun, menyemak dan menterjemah dasar-dasar daripada persepsi ke arah kertas dan amalan.

Yang Berhormat Pehin juga berkata, AMCA harus melihat kepentingan institusi pendidikan dalam menyebarkan nilai budaya melalui pendidikan, melakar pembangunan ekonomi kreatif yang akan melibatkan lebih ramai wanita dan usahawan serta belia sebagai pemimpin akan datang supaya dilengkapkan dengan nilai budaya dan kesenian.

Dalam usaha ke arah Komuniti ASEAN, kata Yang Berhormat Pehin, seperti yang dihasratkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN, cabaran yang berterusan ialah untuk menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi seterusnya memahaminya supaya ASEAN menjadi komuniti yang bersepadu dan inklusif.

Para pemimpin ASEAN menyatakan bahawa kekayaan kepelbagaian budaya dalam ASEAN merupakan pemangkin kepada pembangunan Komuniti ASEAN yang mesra dan berpaksikan rakyat.

Para pemimpin ASEAN telah mengarahkan AMCA untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan kesenian yang merupakan tunjak dalam mempromosikan Identiti ASEAN.

Yang Berhormat Pehin berkata, penubuhan Bandar Kebudayaan ASEAN (ASEAN City of Culture) merupakan satu inisiatif yang berbaloi dalam mempromosikan pertukaran di antara penduduk ASEAN untuk memupuk kesedaran budaya yang unik dan kaya setiap negara anggota ASEAN.

Oleh itu, Yang Berhormat Pehin amat bangga untuk mengumumkan bahawa kini merupakan giliran Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN 2016-2017 di mana ia merupakan peluang keemasan untuk meraikan budaya dan seni ASEAN serta untuk mempromosikan pertumbuhan industri kreatif serantau.

Beliau menambah bahawa Bandar Seri begawan akan mengadakan pelbagai kegiatan signifikan sepanjang tempoh dua tahun itu untuk mengetengahkan dan mempromosikan seni dan budaya serantau dalam membuat masa lalu sebagai sebahagian daripada masa depan kita dengan memahami warisan budaya, menghargainya, menyayanginya serta menikmatinya.

ARTIKEL YANG SAMA