Pertama di ASEAN

Pertama di ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Negara Brunei Darussalam menjadi negara ASEAN pertama memperkenalkan Sistem Pendaftaran Cagaran yang merupakan sistem online membolehkan pendaftaran bagi faedah terjamin aset-aset.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini mengatakan pengenalan Sistem Pendaftaran Cagaran ini adalah sejajar dengan Perintah Transaksi Bercagar (STO) awal tahun 2016. Perintah ini akan mula dilaksanakan pada tarikh sistem itu ‘go-live’ yang dijadualkan pada Disember tahun ini.

Menurut kenyataan itu lagi, sistem itu akan memperbaiki kemudahan mendapatkan pinjaman di negara ini. Langkah ini merupakan sebahagian daripada siri-siri reformasi yang dihasratkan dapat memperbaiki kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam ranking Ease of Doing Business Bank Dunia, disokong oleh Unit PENGGERAK, Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Pengendali Ease of Doing Business (EODB).

Sistem ini membolehkan pendaftaran kenyataan pembiayaan yang mengandungi maklumat peminjam, maklumat pemberi pinjaman dan maklumat mengenai barang-barang yang dicagarkan.

Pengguna yang telah berdaftar, terdiri daripada institusi-institusi kewangan dan agensi-agensi yang berkenaan, juga boleh mengakses maklumat mengenai kenyataan pembiayaan dan cagaran masing-masing daripada sistem ini nanti.

Ia juga memusatkan semua aset yang merupakan jaminan bagi pinjaman dan seterusnya memudahkan dan menggalakkan aliran pinjaman.

Mendapatkan pinjaman akan lebih mudah bagi pengusaha kecil dan sederhana, syarikat-syarikat dan individu memandangkan mereka boleh mencagarkan aset mereka bagi pinjaman kepada bank. Bank-bank pula akan mendapat galakkan untuk memberikan pinjaman kerana mereka boleh mendapatkan pulangan daripada aset jika tiada pembayaran dibuat.

Kaedah pembiayaan ini akan menggalakkan aktiviti ekonomi dan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi kebangsaan.

Untuk itu, AMBD baru-baru ini menandatangani kontrak untuk membina Sistem Pendaftaran Cagaran ini dengan IOS Partners, satu vendor dari Amerika Syarikat yang pakar dalam pembangunan dan pelaksanaan projek mengenai Sistem Pendaftaran Cagaran di banyak negara lain di seluruh dunia.

Dalam beberapa bulan akan datang, AMBD akan terus bertemu dan membabitkan stakeholder relevan seperti bank, syarikat kewangan, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan relevan, Darussalam Enterprises (DARe), Dewan Perniagaan dan beberapa lagi pelanggan berpotensi dan stakeholder untuk memperkenalkan Sistem Pendaftaran Cagaran lebih terperinci.

Bagi maklumat lanjut mengenai Sistem Pendaftaran Cagaran ini, orang ramai boleh memuat turun ‘AMBD App’ percuma di kedua-dua App Store bagi pengguna iPhone dan Google Playstore bagi pengguna Android atau melayari laman web AMBD di http://www.ambd.gov.bn