Pertama di Asia cegah jangkitan HIV ibu-anak

Pertama di Asia cegah jangkitan HIV ibu-anak

BANGKOK, 8 Jun – Thailand telah menjadi negara Asia pertama yang menghapus penjangkitan HIV daripada ibu kepada anak, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia hari ini, satu peristiwa penting dalam kempen memerangi penyakit tersebut.

Pengumuman itu merupakan satu rangsangan untuk generasi pekerja kesihatan Thai yang telah mengubah negara daripada salah satu masyarakat HIV paling teruk di Asia sebagai model untuk cara-cara mengatasi krisis berkenaan secara berkesan.

Menggambarkan penghapusan sebagai ‘pencapaian luar biasa’, WHO berkata Thailand adalah ‘negara pertama dengan wabak HIV besar untuk memastikan generasi yang bebas daripada AIDS’.

Belarus dan Armenia juga diisytiharkan bebas daripada jangkitan HIV ibu kepada anak damit hari ini namun kedua-dua negara mempunyai penyebaran virus yang jauh lebih rendah.

Sebelumnya, Cuba adalah satu-satunya negara yang telah menghapus jangkitan ibu kepada anak di bawah kriteria WHO pada Julai 2015.

Badan kesihatan global berkata pemeriksaan rutin dan ubat percuma sejagat untuk wanita mengandung dengan HIV di Thailand adalah penting dalam menghalang virus daripada disebar kepada generasi baru.

Jika dibiarkan tidak dirawat, ibu dengan HIV mempunyai peluang 15-45 peratus untuk menyebar virus kepada anak mereka ketika mengandung, bersalin atau ketika menyusu.

Namun pengambilan ubat antiretroviral ketika mengandung boleh mengurangkan peluang berkenaan kepada satu peratus.

Pada 2000, Thailand menjadi salah sebuah negara pertama di dunia yang memberikan ubat antiretroviral kepada semua wanita mengandung yang didiagnosis dengan HIV.

Pemeriksaan untuk virus ketika mengandung juga bersifat rutin, walaupun di kawasan paling terpencil negara, tambah WHO.

Menurut angka kerajaan Thai, jumlah anak damit yang dilahirkan dengan HIV telah merosot daripada 1,000 pada 2000 kepada 85 pada tahun lalu, kemerosotan yang cukup besar untuk WHO mengisytiharkan berakhirnya jangkitan ibu kepada anak. – AFP