Pertamina Indonesia keluarkan petrol gred tinggi bulan ini

Pertamina Indonesia keluarkan petrol gred tinggi bulan ini

JAKARTA, 14 Julai (Reuters) – Firma minyak milik kerajaan Indonesia Pertamina merancang pada bulan ini untuk mengeluarkan gasolin gred baru yang bertujuan menggantikan gred petrol paling rendahnya, kata seorang pegawai kanan syarikat.

Menjelang hujung bulan ini, Pertamina dijangka menjual gred “Pertalite” RON90 yang akan menggantikan gasolin “Premium” RON88, yang diberi subsidi oleh kerajaan sehingga tahun ini.

“Kami akan menguji pasaran. Dalam peringkat pertama, kami akan menjualnya di 103 stesen minyak di Jakarta, Bandung dan Surabaya,” beritahu Ahmad Bambang, pengarah pemasaran syarikat kepada wartawan pada lewat Jumaat.

Pertamina berkata pada April ia sedang menimbangkan untuk mengganti gasolin gred paling rendahnya dengan bahan api lebih bersih, dalam satu tindakan yang mungkin mengurangkan kebergantungan negara pada bekalan asing.

Seorang pekerja stesen Pertamina bersedia untuk mengisikan minyak kereta pelanggan. – AFP
Seorang pekerja stesen Pertamina bersedia untuk mengisikan minyak kereta pelanggan. – AFP

Syarikat dijangka menjual 500 kilo-liter Pertalite sehari, dan berharap akan memindah 30% daripada pengguna Premium kepada gred baru itu.

Gred yang lebih tinggi juga dilihat membantu Pertamina memperoleh lebih banyak pendapatan memandangkan RON88 sedang dijual pada harga merugikan sekarang, selepas kerajaan mengalih bebanan subsidi bahan api kepada syarikat.