Pertandingan akhir menghafaz Al-Quran sekolah rendah

Pertandingan akhir menghafaz Al-Quran sekolah rendah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Awang Mohd Wafii Syafiq bin Haji Mosliadi dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) dan Dayang Nur Afifah binti Haji Zaini dari SR Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong, muncul juara kategori masing-masing dalam Pertandingan Akhir Menghafaz Ayat-Ayat Lazim Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Pendidikan Swasta Senegara ke-27 tahun 1438 Hijrah/2016 Masihi.

Tempat kedua bagi kategori lelaki pula telah dimenangi oleh Awang Muhammad Bazli Taib bin Awang Mahmud dari Sekolah St Andrew dan diikuti oleh Awangku Mohd Aqiel Fauzan bin Pengiran Haji Ismail dari SR Tungku.

Manakala itu, bagi kategori perempuan pula, tempat kedua disandang oleh Dayang Nur Ameerah Aleesya binti Awang Roshahlehzam dari SR Sinaut dan tempat ketiga dimenangi Awang Iman Al Humaira binti Haji Emran Ahmad Abdusalam dari Sekolah Al-Falah.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan SR YSHHB itu ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Para pemenang masing-masing membawa pulang hadiah piala persendirian dan juga sijil penyertaan.

Haji Brahim semasa menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara, Dayang Nur Afifah, bagi peserta perempuan.
Haji Brahim semasa menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara, Dayang Nur Afifah, bagi peserta perempuan.
Haji Brahim semasa menyempurnakan penyampian hadiah kepada juara, Awang Mohd Wafii Syafiq, bagi peserta lelaki.
Haji Brahim semasa menyempurnakan penyampian hadiah kepada juara, Awang Mohd Wafii Syafiq, bagi peserta lelaki.

Pertandingan tahun ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan diselenggarakan oleh SR YSHHB, Zon II A.

Pemangku Pengetua SR YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali dalam ucapannya selaku pengerusi bersama menjelaskan, pertandingan ini bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman beragama dengan menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

“Melalui pertandingan ini, pelajar-pelajar yang dikenal pasti berkebolehan menghafaz ayat-ayat lazim akan dapat mengasah bakat-bakat sekali gus mendidik mereka untuk menanamkan semangat cintakan Al-Quran dan menjadikan budaya bacaan ayat-ayat Al-Quran ini sebagai rutin harian mereka dari alam persekolahan lagi.”

Dengan ini, tambah beliau, mereka diharapkan agar dapat secara perlahan-lahan menjadikan pembacaan Al-Quran ini sebagai satu amalan dan tanggungjawab yang wajib diutamakan dalam kehidupan seharian.

Pertandingan yang disertai oleh 18 orang peserta, terdiri daripada sembilan orang peserta lelaki dan sembilan orang peserta perempuan itu merupakan salah satu usaha murni ke arah memantapkan lagi penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pendidikan atau persekolahan di era zaman moden dan canggih ini serta laman sosial yang meluas dengan pengaruh media massa yang tiada hadnya yang amat mudah mempengaruhi pelajar-pelajar.

“Insya-Allah, jika amalan membaca Al-Quran ini diterapkan semenjak awal lagi kepada pelajar-pelajar kita sebagai amalan cara hidup pastinya pelajar-pelajar kita akan mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia dan terpuji,” ujarnya.

Para peserta bagi pertandingan akhir tahun ini masing-masing mempertandingkan surah-surah yang berbeza bagi setiap kategori iaitu Surah Al-A’la, Surah Asy-Syams dan Surah Al-Lail bagi peserta lelaki dan peserta perempuan ialah Surah At-Tariq, Surah Al-Balad dan Surah Ad-Duha. Manakala Surah Al-Buruj sebagai surah tambahan bagi kedua-dua kategori.

Para peserta yang bertanding telah dinilai mengikut hafalan, tajwid dan suara dan lagu mereka semasa pertandingan pagi tadi.

ARTIKEL YANG SAMA