Pertandingan Aksi Siulan Murai dapat sambutan

Pertandingan Aksi Siulan Murai dapat sambutan

Oleh Anwar Rosly & Imelda Groves

Gambar Oleh Anwar Rosly

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seramai 250 peserta telah menampilkan pelbagai jenis unggas dalam Pertandingan Aksi Siulan Murai 2015 yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan STKRJ Kampung Rimba yang dikendalikan bersama oleh Tank & Qandiz Island Group, hari ini.

Pertandingan yang diadakan di Kawasan Padang Kecil Kampung Rimba, Gadong itu telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohammad Sunadi bin Haji Buntar sambil diiringi oleh Ketua Kampung STKRJ Kampung Rimba, Awang Wahab bin Timbang.

Penganjur pertandingan, Awang Abdul Rahman bin Haji Bagol berkata acara yang diadakan buat kali pertama itu telah mendapat sambutan memberangsangkan berdasarkan jumlah penyertaannya yang merangkumi seluruh daerah di negara ini yang juga termasuk penyertaan daripada para peserta Limbang, Sarawak.

Adapun tujuan pertandingan ini adalah untuk menarik minat masyarakat untuk sama-sama meminati dan mencintai keindahan siulan unggas yang ada di dalam hutan belantara di negara ini.

Pemenang bagi Kategori A ketika menerima hadiah bagi Pertandingan Aksi Siulan Murai 2015.
Pemenang bagi Kategori A ketika menerima hadiah bagi Pertandingan Aksi Siulan Murai 2015.

Dalam pertandingan ini, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu bagi Kategori A terbuka bagi Burung Murai Batu Kepala Hitam, bagi Kategori B terbuka bagi Burung Murai Batu Kepala Putih dan Kategori C bagi Burung Murai Kelijau.

Siulan Burung Murai Batu Kepala Hitam milik Awang Jainuddin bin Haji Saban telah berjaya menambat hati para juri dan sekali gus dinobatkan sebagai juara bagi Kategori A dengan membawa pulang hadiah wang tunai $500 berserta trofi dan sijil.

Manakala itu, bagi Kategori B menerima wang tunai $400 dan sebuah trofi serta sijil menjadi milik Awang Sufri bin Haji Nudin dan bagi juara Kategori C telah diraih oleh Awang Haji Echo yang membawa pulang wang tunai $300 dan sebuah trofi serta sijil.