Pertandingan Al-Quran sempena Israk Mikraj

Pertandingan Al-Quran sempena Israk Mikraj

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Mei – Bagi memeriahkan lagi sambutan Israk Mikraj 1437 Hijrah, Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang, semalam telah mengadakan Pertandingan Membaca Surah Pilihan secara Murattal bagi warga emas Kampung Kiudang.

Seramai 25 orang peserta, terdiri daripada 16 lelaki dan sembilan perempuan, yang menyertai pertandingan itu merupakan penduduk Mukim Kiudang dan jemaah masjid berkenaan.

Muncul juara kategori lelaki ialah Haji Imran bin Haji Ibrahim dengan mendapat markah 91 peratus, manakala itu Hajah Habibah binti Haji Ahmad menjuarai kategori perempuan dengan 80.5 peratus.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan pertandingan tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abdul Rahim bin Abdullah Yakin; Ketua Kampung Pengkalan Mau, Haji Mohd Taib bin Haji Jaludin; dan Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Haji Adanan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori lelaki, Haji Imran.
Haji Adanan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori lelaki, Haji Imran.
Haji Adanan menyampaikan hadiah kepada Hajah Habibah.
Haji Adanan menyampaikan hadiah kepada Hajah Habibah.

Peserta yang mengikuti pertandingan ini terdiri daripada mereka yang mengikuti kelas pengajian Al-Quran, kelas Muslimah asas dan kelas lanjutan.

Sebelum pertandingan diadakan, para peserta juga mengikuti bengkel dan mendapatkan tunjuk ajar yang disampaikan oleh guru-guru kelas Al-Quran dan tenaga pengajar Kumpulan Muslimah.

Tujuan ia dianjurkan adalah untuk menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar penduduk dan rakyat di negara ini celik Al-Quran, di samping mengambil Tabbaruk sempena meraikan sambutan Israk Mikraj 1437 Hijrah.

Selain itu, ia juga untuk mencungkil bakat peserta dengan memberi tunjuk ajar, mengasah serta memperbaiki lagi mutu bacaan Al-Quran dan menjadikan bacaan Al-Quran itu sebagai amalan seharian.

ARTIKEL YANG SAMA