Pertandingan dedah kemahiran mengamping

Pertandingan dedah kemahiran mengamping

Oleh Ampuan Irma Susanti

TEMBURONG, 24 Jan – Tiga buah kampung di bawah tadahan Mukim Labu, kelmarin, telah menganjurkan Hari Keluarga dengan mengadakan peraduan unik iaitu Peraduan Mengamping yang diadakan di kawasan padi Kampung Piasau-Piasau.

Peraduan ini dipilih dengan tujuan untuk memperkenalkan nostalgia tradisi menumbuk padi daripada puak Melayu Kedayan di sini, selain untuk mengajarkan dan mewariskan kemahiran mereka kepada generasi baru agar ia tidak dilupakan begitu sahaja.

Emping padi atau disebut ‘amping’ merupakan sejenis makanan ringan yang diperbuat daripada padi. Makanan berkhasiat ini pernah menjadi menu sarapan pagi yang sangat istimewa suatu masa dahulu dan diwarisi oleh generasi yang ada sekarang.

Menghasilkan emping padi secara manual sememangnya nampak mudah, tetapi ia sebenarnya memerlukan kemahiran dan pengalaman yang luas.

Tetamu kehormat ketika merasmikan acara peraduan mengamping dengan menumbuk padi yang telah dimasak menggunakan alu.
Tetamu kehormat ketika merasmikan acara peraduan mengamping dengan menumbuk padi yang telah dimasak menggunakan alu.
Pasukan dari Kampung Labu Estate ketika memulakan aksi menumbuk padi.
Pasukan dari Kampung Labu Estate ketika memulakan aksi menumbuk padi.
Antara yang menyertai peraduan memancing ikan air tawar pada acara tersebut.
Antara yang menyertai peraduan memancing ikan air tawar pada acara tersebut.

Sejak dulu, aktiviti mengemping padi menjadi tradisi puak Melayu Kedayan di daerah ini, yang asalnya dilakukan khas sebagai penutup musim bertanam padi. Ini juga sebagai bukti yang melambangkan sifat semula jadi puak Melayu yang sangat menghargai rezeki yang mereka usahakan.

Hadir selaku tetamu kehormat, sekali gus merasmikan peraduan ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis, Supt Muhammad Azrie bin Haji Talib, yang turut menunjukkan kebolehan menumbuk padi menggunakan alu dan lasong.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Labu, Haji Abdurrahman bin Haji Nasir, ketua-ketua kampung dan ahli jawatankuasa majlis perundingan kampung di bawah tadahan Mukim Labu.

Sambutan Hari Keluarga yang juga merupakan peluang untuk mengeratkan lagi silaturahim yang sedia wujud, turut diisikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti memancing ikan air tawar dan sebagainya.

Pasukan Kampung Piasau-Piasau menjadi johan dalam peraduan mengamping dan Hajah Rashidah binti Haji Hitam pula menjuarai peraduan memancing ikan air tawar, yang mana hadiah-hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat.

Hari Keluarga Mukim Labu ini merupakan sebahagian daripada acara Hari Keluarga yang diungkayahkan Bahagian Institusi Mukim dan Kampung bagi lima buah mukim di daerah ini mengikut jadual yang ditetapkan.

Ia bertujuan untuk mendokong hasrat negara supaya sentiasa mengekalkan keamanan, kedamaian dan kebahagiaan dalam institusi kekeluargaan.