Pertandingan imarah masjid

Pertandingan imarah masjid

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Dayang Nur Isna Bela binti Haji Mohammad Nor dan Dayang Amal Syakhirah binti Hazman menjuari kategori masing-masing dalam Peraduan Menghafal Surah-surah Lazim bagi murid-murid yang belajar mengaji di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Mukim Tamoi, kelmarin.

Dayang Nur Isna Bela menjuarai kategori berumur lapan hingga 10 tahun, sekali gus menempatkan Dayang Nazzatul Balqis binti Ismail di tempat kedua dan Awang Muhammad Haiqal Hakimi bin Abdul Rashid di tempat ketiga.

Sementara itu, Dayang Amal Syakhirah menjuarai kategori umur 11 hingga 14 tahun setelah mengalahkan Dayangku Aimiatul Syafiqah binti Pengiran Roslan di tempat kedua dan Dayang Nur Izyan binti Haji Muhammad di tempat ketiga.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, selaku tetamu kehormat majlis.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Dayang Amal Syakhirah.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Dayang Amal Syakhirah.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama Dayang Nur Isna Bela yang menjuarai kategori lapan hingga 10 tahun.
Tetamu kehormat (tengah) bergambar bersama Dayang Nur Isna Bela yang menjuarai kategori lapan hingga 10 tahun.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Tamoi, Pengarah Haji Mokhti bin Haji Mohd Salleh, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah serta tetamu undangan yang lain.

Imam masjid, Awang Faizal bin Rosli dalam ucapan alu-aluannya menyatakan harapan agar lebih ramai lagi penduduk kampung yang berhampiran memakmurkan masjid tersebut dengan menunaikan sembahyang berjemaah di masjid tersebut pada setiap masa.

Menurutnya, pada masa akan datang masjid itu akan mengadakan lebih banyak aktiviti keagamaan seperti peraduan hafazan yang diadakan itu dalam usaha untuk mengimarahkan masjid tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA