Pertandingan martabatkan grafiti

Pertandingan martabatkan grafiti

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Tanggapan lukisan grafiti sebagai satu bentuk vandalisme bakal terhakis apabila STAIN menganjurkan Pertandingan Seni Grafiti, WRITE THIS di Skatedium, Taman Budiman, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Acara julung-julung kali yang berlangsung selama dua hari, 16 dan 17 Julai, bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang, itu menyediakan satu platform kepada para penggiat seni grafiti untuk mencurahkan bakat serta idea mereka.

Pertandingan itu disertai seramai 20 orang penggiat seni grafiti tempatan dan negara jiran Malaysia di mana pelukis tempatan yang mengambil bahagian ialah Budi01, Drips, Duke, Dust2, Hazim, Jest2, Mags, Nerdink, Nycer, P-Nuts, Sketch01, Sycktwo, Trank, Twen dan Zaku.

Manakala penggiat seni dari negara jiran yang turut menyertai pertandingan ini ialah Dean.R, Miyo dan Twentyfifth dari Kuching, Sarawak, Cracko dari Sabah dan Mytho, Kuala Lumpur, Malaysia.

Turut hadir bersama para pengunjung menyaksikan karya seni para peserta ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Dato Paduka Haji Suhaimi turut menyaksikan sendiri hasil karya seni grafiti tempatan dan luar negara dalam acara berkenaan.
Dato Paduka Haji Suhaimi turut menyaksikan sendiri hasil karya seni grafiti tempatan dan luar negara dalam acara berkenaan.
Para penggiat seni grafiti menunjukkan bakat mereka dalam acara itu.
Para penggiat seni grafiti menunjukkan bakat mereka dalam acara itu.

Para peserta pertandingan dihakimi daripada segi stail, keaslian, kreativiti, penggunaan warna, pembentukan huruf dan teknik semburan cat. Selain itu, para hakim iaitu Clog’02 dari Singapura, Kartun dari Kuala Lumpur, Tag’01 dan Tycal dari Brunei juga mengetengahkan seni grafiti dalam pertandingan itu.

Bagi sebilangan besar peserta terutama peserta muda, pertandingan itu memberikan peluang kepada mereka untuk bertemu dan berinteraksi dengan penggiat seni grafiti antarabangsa serta memberikan peluang kepada mereka untuk meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang berkenaan.

Orang ramai yang hadir menyaksikan dan memberikan sokongan kepada para peserta dalam pertandingan berkenaan, bukan sahaja berpeluang menyaksikan penggiat seni grafiti tempatan dan luar negara tetapi juga berpeluang berinteraksi dengan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA