Pertandingan melukis, reka cipta galak pelajar kuasai ICT

Pertandingan melukis, reka cipta galak pelajar kuasai ICT

KOTA KINABALU, 28 Sept (Bernama) – Pertandingan melukis dan mereka cipta kad ucapan sempena Hari Guru merupakan medium terbaik menggalakkan pelajar menguasai kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, acara pertandingan itu bukan sahaja berupaya menjadikan mereka sebagai generasi yang maju ICT tetapi seiring membangun dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Usaha dan inisiatif bagi mengenang jasa guru ini adalah satu usaha yang murni dan seharusnya menjadi ikutan pihak lain dalam menganjurkan program sedemikian,” katanya ketika berucap menyempurnakan penyampaian hadiah pertandingan melukis Kad Hari Guru peringkat Sabah dekat sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Siringan Gubat.