Pertandingan memasak keluarga

Pertandingan memasak keluarga

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

KUALA BELAIT, 27 Okt – Keluarga keturunan Hajah Zaitun binti Mulkiaman baru-baru ini mengadakan Pertandingan Memasak sempena ulang tahun Hajah Zaitun ke-79 di rumah keluarga Hijau Budiman, Kampung Sungai Liang, Kuala Belait.

Kira-kira 70 orang ahli keluarga Hajah Zaitun hadir di acara itu yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat dibacakan oleh Abdul Hadi bin Pengiran Haji Hamzah diikuti ucapan Pengerusi Majlis, Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Yusof.

Pertandingan memasak dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pembuka selera yang disertai enam peserta, hidangan utama yang disertai 16 orang ahli keluarga manakala pencuci mulut disertai enam orang. Ia diadili empat orang hakim yang menilai masakan daripada segi rasa, hiasan dan kebersihan. Peserta pertandingan perlu memasak dari rumah dan dibawa ke tempat pertandingan untuk diadili dan hendaklah menamakan serta membawa resipi ketika pertandingan.

Gambar ramai peserta Pertandingan Memasak Keluarga Hajah Zaitun.
Gambar ramai peserta Pertandingan Memasak Keluarga Hajah Zaitun.

Pertandingan diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara keluarga, menyerlahkan bakat dan kreativiti ahli keluarga di samping menggalakkan ahli keluarga untuk rajin memasak.

Penyampaian hadiah diadakan bagi pemenang semua kategori dan pemenang keseluruhan di akhir pertandingan dan keseluruhan pertandingan dan kategori pembuka selera dimenangi oleh Awangku Mulkiaman@ Awangku Kamal, kategori hidangan utama dimenangi Dayangku Siti Khadijah manakala juara kategori pencuci mulut ialah Hajah Bibi Farida.