Pertandingan membaca khutbah latih keberanian diri

Pertandingan membaca khutbah latih keberanian diri

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Bagi melatih para marbut dan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid senegara untuk berani dan petah bercakap di hadapan khalayak ramai, satu Pertandingan Membaca Teks Khutbah telah diadakan hari ini di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Juga hadir ialah pegawai-pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, pihak penaja dan penyokong peraduan tersebut, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, para peserta serta penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, masjid berkenaan, Awang Zulhazmi bin Salleh, diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat bagi Marbut dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Senegara, Haji Norazalany bin Haji Mohd Yassin.

Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Haji Norzalany ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Haji Norzalany ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Pengerusi Hakim pertandingan tersebut, Awang Hanafi bin Haji Zaini ketika mengumumkan keputusan pertandingan.
Pengerusi Hakim pertandingan tersebut, Awang Hanafi bin Haji Zaini ketika mengumumkan keputusan pertandingan.
Awang Abdul Rahman selaku johan Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat.
Awang Abdul Rahman selaku johan Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat.
Naib johan Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat.
Naib johan Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat.
Tempat Ketiga Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat.
Tempat Ketiga Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat.
Salah seorang penerima hadiah bagi Peraduan Menulis Teks Khutbah Jumaat
Salah seorang penerima hadiah bagi Peraduan Menulis Teks Khutbah Jumaat

Beliau menurut kenyataannya berkata, tujuan pertandingan ini adalah untuk memberikan kesedaran tentang kehidupan beragama yang sejati, bagi mempunyai akhlak yang sihat dan mulia berlandaskan Islam, bagi mempunyai tahap keimanan yang tinggi dan menghayati Islam dalam kehidupan seharian dan dapat memahami serta mengetahui adab-adab dan tatacara penyampaian Khutbah Jumaat yang lebih menarik dan berkesan.

“Pertandingan Membaca Teks Khutbah Jumaat bagi marbut dan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid senegara ini adalah salah satu aktiviti yang julung kali diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid. Pada tahun ini, pertandingan ini dianjurkan bersama oleh Bahagian Perpustakaan, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei Muara dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak,” kata beliau dalam ucapan alu-aluannya.

“Alhamdulillah, sambutan pada pertandingan ini adalah menggalakkan. Seramai 12 orang daripada kalangan marbut dan ahli jawatankuasa takmir masjid telah menyertai pertandingan ini. Masing-masing adalah wakil dari masjid/zon/daerah,” tambah beliau lagi.

Selain itu, ia juga bertujuan bagi membentuk masyarakat Islam khususnya para marbut dan ahli jawatankuasa takmir masjid untuk mencintai masjid dan mempunyai personaliti Muslim yang berwibawa, berwawasan serta bertakwa kepada Allah S.W.T.

“Di samping itu memberikan kefahaman dan memberikan kesedaran kepada para peserta bahawa khutbah Jumaat merupakan salah satu wadah ilmu yang penting yang mana mencakupi dalam semua aspek agama dan kehidupan serta adab-adab dan tatacara penyampaian Khutbah Jumaat itu sendiri,” jelasnya lagi.

Pada pertandingan tersebut, Awang Abdul Rahman bin Haji Tunjang yang mewakili Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah muncul sebagai juara dengan mendapat markah keseluruhan sebanyak 91.5 peratus.

Sementara naib johan pula disandang oleh wakil dari Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Rudy@Haji Mohd Rudy bin Haji Samsudin dengan mendapat markah sebanyak 88.5 peratus.

Manakala itu, tempat ketiga pula dimenangi oleh wakil bagi Daerah Temburong 2, Awang Sabtu bin Gani dengan mendapat markah keseluruhan 82 peratus.

Penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan penyampaian saguhati kepada para hakim pertandingan tersebut.

Majlis juga diselajuri dengan penyampaian hadiah bagi Peraduan Menulis Teks Khutbah Jumaat Bagi Tahun 1437 Hijrah/2015 Masihi, yang mana johan telah disandang oleh Dayang Nurhanisah binti Haji Abu Bakar, Dayang Nor Rasidah binti Abdul Rahman selaku naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh Hajah Sarbiah binti Haji Jumat.

Kesemua mereka membawa pulang piala iringan yang disumbangkan oleh Alif Technology Sdn Bhd dan wang tunai yang ditaja oleh Insurans Islam TAIB.      Sementara itu, dua peserta peraduan menulis teks khutbah Jumaat menerima saguhati sumbangan daripada EZY Printing Sdn Bhd. Acara juga diteruskan dengan penyampaian buku terbitan Jabatan Hal Ehwal Masjid kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah serta penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis. Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Zulhazmi bagi memberkati majlis.

ARTIKEL YANG SAMA