Pertandingan menghafaz surah pilihan mendapat sambutan menggalakkan

Pertandingan menghafaz surah pilihan mendapat sambutan menggalakkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Seramai 24 orang peserta telah memperdengarkan hafazan surah pilihan masing-masing dalam Pertandingan Menghafaz Surah-Surah Pilihan Beserta Pemahamannya Peringkat Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Teater Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Pertandingan yang diungkayahkan oleh Majlis Perundingan Mukim Kota Batu dengan Kerjasama Jabatan Brunei dan Muara dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, bertempat di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara ini merupakan acara iringan yang diadakan oleh Jawatankuasa Acara Keagamaan bagi menyemarakkan dan memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada johan dan para pemenang lainnya ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Turut hadir ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para jemputan lainnya.

Salah seorang yang bertanding pada peringkat akhir di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Salah seorang yang bertanding pada peringkat akhir di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Pada tahun ini, pertandi-ngan dibahagikan kepada enam kategori iaitu Kategori A bagi kanak-kanak lelaki berusia enam hingga 14 tahun (disertai empat peserta), Kategori B bagi kanak-kanak perempuan enam hingga 14 tahun (lapan peserta), Kategori C bagi remaja lelaki 15 hingga 25 tahun (dua peserta), Kategori D bagi remaja perempuan 15 hingga 25 tahun (enam peserta), Kategori E bagi peserta dewasa lelaki berusia 26 tahun ke atas (tiga peserta) dan Kategori F bagi peserta dewasa perempuan yang hanya mempunyai seorang penyertaan.

Muncul johan Kategori A ialah Awang Ahmad Huzaifah bin Haji Hasbi, Kategori B dimenangi Dayang Wafa Imani binti Dr. Haji Gamal Abdul Nasir, Kategori C Awang Abdul Qawi bin Haji Mat Yamin, Kategori D Dayang Siti Norajimah binti Haji Hamdani, Kategori E Haji Samry bin Haji Mohd Ya’kub dan Kategori F Dayang Noriah binti Tiah.

Johan-johan berkenaan akan mewakili Daerah Brunei dan Muara untuk bertanding dalam peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Daerah Tutong nanti.

ARTIKEL YANG SAMA