Pertandingan Mukun Belait tampil pemukun cilik

Pertandingan Mukun Belait tampil pemukun cilik

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 18 Ogos – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69, malam perayaan di daerah ini akan dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Bermukun buat julung-julung kalinya, pada penghujung minggu ini.

Pertandingan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) dengan kerjasama Kumpulan Mukun Brunei (KMB) itu akan menampilkan sebanyak 12 buah kumpulan pemukun tanah air dan juga pemukun dari negara jiran yang sudah terkenal dalam kalangan peminat-peminat seni bermukun seluruh Borneo.

Pertandingan berkenaan yang akan berlangsung pada 22 Ogos, di Padang Bandaran Jalan Sultan bermula jam 8 malam itu, dijangka   dihadiri oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman selaku tetamu kehormat.

Jawatankuasa tertinggi pertandingan itu, Awang Irwan Rino bin Nordin memberitahu Media Permata hari ini, pertandingan tersebut bertujuan untuk memeriahkan lagi upacara sempena sambutan perayaan, selain dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli-ahli jawatankuasa pertandingan dengan para peserta dan peminat mereka.

Pasangan adik beradik yang merupakan pemukun cilik, Awang Abdul Qayum dan Awang Abdul Qawi semasa ditemu bual di Radio Televisyen Brunei (RTB), Belait baru-baru ini.
Pasangan adik beradik yang merupakan pemukun cilik, Awang Abdul Qayum dan Awang Abdul Qawi semasa ditemu bual di Radio Televisyen Brunei (RTB), Belait baru-baru ini.
Latihan diadakan sebelum menjelangnya Pertandingan Bermukun yang diadakan Sabtu ini.
Latihan diadakan sebelum menjelangnya Pertandingan Bermukun yang diadakan Sabtu ini.

“Secara tidak langsung, pertandingan itu nanti juga dihasratkan untuk mempertahankan budaya bermukun tanah air serta menampilkan bakat-bakat baru di kalangan generasi muda dan belia dalam persembahan pada malam itu,” katanya.

Untuk menyerikan pertandingan berkenaan, beberapa persembahan sampingan juga akan diadakan, antaranya persembahan lawak jenaka daripada pelawak terkenal tanah air seperti Pengiran Maskuin dan Hajah Kasumawati (Dang Kasum) selain menampilkan persembahan pemukun cilik Awang Abdul Qayum, 12, dan Awang Abdul Qawi, 8, merupakan pasangan adik beradik dan anak kepada pemukun yang sudah tidak asing lagi di tanah air Awang Irwan Rino.

Pasangan adik beradik itu pernah menerima beberapa undangan bermukun termasuk undangan Perbadanan Labuan dan membuat persembahan di Dataran Labuan sempena Hari Wilayah Tahun 2013, selain undangan bermukun di Bintulu, Mukah dan sebagainya, sementara itu baru-baru ini, kedua-duanya juga pernah menerima undangan bagi persembahan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri, di Batalion Ketiga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Lumut Seria.

Menurut Awang Irwan Rino, semasa pertandingan bermukun itu nanti, beberapa buah kumpulan bermukun dari Miri, Limbang, Bintulu serta Labuan juga turut diundang untuk menyertai pertandingan itu.

“Sehubungan itu, orang ramai terutama peminat-peminat seni bermukun adalah dialu-alukan supaya datang beramai-ramai menceriakan lagi suasana pertandingan itu nanti, selain untuk memberikan sokongan kepada kumpulan-kumpulan pemukun yang menyertai pertandingan, serta mendukung budaya bermukun itu agar ia tidak lapuk ditelan zaman,” ujarnya lagi.