Pertandingan Mukun sempena Hari Keputeraan

Pertandingan Mukun sempena Hari Keputeraan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Julai – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi peringkat Daerah Belait, Selindang Sutera akan menganjurkan Pertandingan Bermukun.

Pertandingan tersebut dijangka akan menjadi salah satu acara persembahan malam perayaan bagi menambah ceriakan lagi suasana sempena sambutan berkenaan di Daerah Belait.

Ia dijangka akan berlangsung pada 30 Julai bertempat di Pentas Perayaan Tamu Tudung Saji, Jalan Setia Diraja, di sini, bermula jam 8 malam.

Pengurus Mukun Selindang Sutera Brunei, Awang Irwan Rino Nordin, hari ini, memberitahu bahawa pertandingan tersebut akan dibahagikan kepada dua kategori melalui jemputan.

Menurutnya, Selindang Sutera Brunei telah mengundang lapan buah kumpulan mukun daripada juara-juara setiap zon di daerah ini selain pada malam pertandingan itu nanti, akan turut mengundang artis tempatan sebagai menyerikan lagi acara berkenaan.

Awang Irwan Rino semasa mempengerusikan mesyuarat pertandingan bermukun.
Awang Irwan Rino semasa mempengerusikan mesyuarat pertandingan bermukun.

Antara artis tempatan yang dijangka akan menyemarakkan lagi acara pada pertandingan tersebut ialah Hajah Kasum, Zainuddin Haji Jaya @ Beracun, Haji Daus, Masitah Tamil dan artis jemputan lainnya.

Beliau turut menyatakan, kategori pertandingan pada tahun ini akan lebih diceriakan lagi dengan turut mengadakan pertandingan kategori bermukun kanak-kanak.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan pertandingan itu nanti, sementara itu bagi mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan di peringkat Daerah Brunei dan Muara boleh menghubungi Awang Abdul Latip bin Haji Ajak di Jabatan Daerah Brunei dan Muara melalui talian 8766476 atau Pengurus Mukun Selindang Sutera Brunei di talian 7199019 bagi penyertaan di Daerah Belait.

Pertandingan Bermukun juga akan diadakan di Daerah Brunei dan Muara pada 27 Julai bermula jam 8 malam di Pentas Perayaan berhadapan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja di ibu negara.

ARTIKEL YANG SAMA