Pertandingan Pencak Silat Kebangsaan bermula

Pertandingan Pencak Silat Kebangsaan bermula

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Pertandingan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 membuka tirainya hari ini di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Hadir merasmikan acara tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, dan Yang Di-Pertua PERSIB, Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ludin.

Majlis pembukaan rasmi pertandingan tahunan anjuran PERSIB itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’, kemudian disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan Doa Selamat.

Kemuncak acara majlis berkenaan adalah upacara perarakan keris khas sebelum diserahkan kepada Haji Mohd ‘Abdoh sebagai pengisytiharan pembukaan rasmi pertandingan itu.

Bacaan Ikrar Pesilat dibacakan oleh pesilat MS ABDB, Mohd ‘Arif bin Ismail dan kemudiannya bacaan Ikrar Wasit/Juri telah dipimpin oleh Haji Asrul Bakhtiar bin Dato Paduka Haji Abu Bakar.

Antara aksi persembahan bagi memeriahkan lagi acara tersebut.
Antara aksi persembahan bagi memeriahkan lagi acara tersebut.

Sebelum pertandingan dimulakan, persembahan pembukaan gelanggang telah dijalankan dengan persembahan solo AJK Tertinggi PERSIB merangkap Pengurus Pasukan Daerah Brunei dan Muara, Haji Jaya bin Idris, disusuli dengan persembahan ganda Seni Silat Cekak oleh dua orang pesilat MS ABDB.

Seperti tahun-tahun yang lalu, pertandingan ini telah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Kuntau, Cakak Asli dan Tanding peserta lelaki dan perempuan.

Kuntau dan Cakak Asli pula seterusnya dipecahkan kepada dua kategori iaitu remaja dan dewasa, manakala Tanding dibahagikan kepada kelas tertentu (menurut timbangan berat badan yang ditetapkan).

Pertandingan yang dijadualkan berakhir pada 3 Ogos itu disertai oleh pesilat-pesilat Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong, dan juga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSBD) serta Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).