Pertandingan Pidato Bahasa Jepun 27 Ogos

Pertandingan Pidato Bahasa Jepun 27 Ogos

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Orang ramai yang ingin menunjukkan kemahiran berpidato dalam Bahasa Jepun dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-30 yang akan di adakan di Dewan Kuliah, IBTE Kampus Mekanikal pada jam 2:30 petang, 27 Ogos nanti.

Penyertaan pertandingan anjuran bersama Bahagian Latihan dan Pendidikan Berterusan (CET), Kementerian Pendidikan; Pusat Bahasa, Universiti Brunei Darussalam dan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam kini sudah mula dibuka kepada mereka yang berminat untuk menguji kemahiran serta kefasihan menyampaikan pidato dalam Bahasa Jepun.

Di samping menggalakkan pada peserta untuk menunjukkan kemahiran serta kefasihan berbahasa Jepun, pertandingan itu juga diadakan untuk meningkatkan lagi persefahaman di antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun khususnya dalam mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara penduduk kedua-dua negara.

Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Peringkat Permulaan dan Peringkat Lanjutan dengan Peringkat Permulaan adalah bagi peserta yang mempelajari Bahasa Jepun kurang dari dua tahun, dan Peringkat Lanjutan pula dikhususkan bagi peserta yang tidak menetap di Jepun lebih dari dua tahun sejak berusia enam tahun.

Para peserta bebas untuk memilih tajuk dan isi kandungan pidato tetapi harus menghindari daripada memilih bahan-bahan yang menyentuh politik, agama dan isu-isu kontroversi.

Mereka yang berminat menyertai pertandingan boleh memuat turun borang penyertaan dari laman sesawang Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, http://goo.gl/forms/ighqr3lKfu dengan tarikh tutup untuk menghantar borang penyertaan adalah pada 30 Jun ini.

ARTIKEL YANG SAMA