Pertandingan Ratu Cantik Sabah, Sarawak serikan Festival Kenyalang Borneo 2015

Pertandingan Ratu Cantik Sabah, Sarawak serikan Festival Kenyalang Borneo 2015

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) – Festival Kenyalang Borneo 2015 bermula semalam, menyaksikan 60 gadis daripada pelbagai kumpulan etnik yang ada di Sabah dan Sarawak, mengambil bahagian dalam pusingan akhir pertandingan ratu cantik.

Pengerusi Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur Dr Laurence John berkata pertandingan itu dibahagi kepada tujuh kategori, termasuk Ratu Etnik Sabah, Ratu Kadazan Dusun, Ratu Bidayuh, Ratu Sabah Terbuka dan Ratu Orang Ulu.

Beliau berkata bagi memeriahkan lagi suasana, pertandingan bagi merebut gelaran Mr Sabah dan Mr Sarawak turut diadakan yang disertai 20 pemuda.

“Setiap tahun, kami berharap festival ini mendapat sokongan kuat daripada anak Sabah dan Sarawak kerana acara ini boleh mempromosikan budaya Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara itu yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) di sini.

Para model memperagakan pakaian tradisional dan etnik Borneo pada Majlis Festival Borneo Hornbill 2015 di Saloma Bistro, kelmarin.
Para model memperagakan pakaian tradisional dan etnik Borneo pada Majlis Festival Borneo Hornbill 2015 di Saloma Bistro, kelmarin.

Beliau berkata peserta diadili dari segi penampilan, pakaian tradisional yang dipakai dan kefahaman tentang budaya yang mereka wakili.

Kira-kira 200 orang mengambil bahagian pada peringkat awal bagi tujuh kategori pertandingan itu di MaTic Khamis Lepas, manakala peringkat akhir dan acara penutup akan berlangsung hari ini.

Antara tujuan utama Festival Kenyalang Borneo diadakan ialah untuk mempromosikan seni tradisional, makanan serta nilai dan budaya yang terdapat di Sabah dan Sarawak.