Pertandingan siulan burung dapat sambutan

Pertandingan siulan burung dapat sambutan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Hampir 300 peminat burung menyertai Pertandingan Aksi Siulan Burung 2016 yang berlangsung di Padang Kecil Simpang 126 Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Rimba, Gadong, hari ini.

Muncul juara bagi Kategori Burung Murai Batu Kepala Hitam ialah Awang Adi bersama burungnya bernama Tokai, sementara juara bagi Kategori Burung Murai Batu Kepala Putih ialah Awang Abidin bin Haji Muluk dengan burung bernama Sariwali dan juara bagi Kategori Burung Murai Kampung/Kalajiau ialah Awang Mohd Yusfandi dengan burungnya bernama C-Bogel.

Naib juara bagi Kategori Burung Murai Batu Kepala Hitam ialah Awang Anang dengan burungnya, Bolang dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Mohd Zulhazmin bersama burungnya Muncil.

Naib juara bagi Kategori Burung Murai Batu Kepala Putih ialah Awang SK dengan burungnya bernama Casper dan tempat ketiga diraih oleh Awang Fariddin dengan burungnya bernama Sumandar, sementara naib juara bagi Kategori Burung Murai Kampung/Kalajiau ialah Awang C-Jul dengan burungnya bernama C-Kipas dan tempat ketiga ialah Awang Mohammad bersama burungnya bernama Rosmah.

Awang Adi (kiri) menerima hadiah juara Burung Murai Batu Kepala Hitam.
Awang Adi (kiri) menerima hadiah juara Burung Murai Batu Kepala Hitam.
Jhon (kiri) menyampaikan hadiah juara kepada Awang Abidin.
Jhon (kiri) menyampaikan hadiah juara kepada Awang Abidin.
Awang Mohd Yusfandi menerima hadiah juara bagi Kategori Kalajiau.
Awang Mohd Yusfandi menerima hadiah juara bagi Kategori Kalajiau.

Menurut penganjur pertandingan, Awang Abdul Rahman bin Haji Bagol dari Persatuan Pencinta Irama Unggas Belantara Negara Brunei Darussalam, pertandingan itu adalah pertandingan yang kedua diadakan dan menyaksikan seramai 120 peserta bertanding bagi Kategori Burung Murai Kepala Hitam, 92 penyertaan bagi Kategori Burung Murai Kepala Putih dan 80 penyertaan bagi Kategori Burung Murai Kampung/Kalajiau.

Katanya, penganjuran pertandingan siulan burung pada kali ini merupakan yang terbesar berbanding penganjuran terdahulu dan pihak penganjur telah mengundang tiga pakar pertandingan suara burung dari Persatuan Ronggolawe Ebod Jaya dari Bogor, Indonesia, iaitu Jhon Biver, Nurdin Suwanta dan Kenny Rafsanjani.

Katanya, kehadiran tiga orang pegawai dari Persatuan Ronggolawe Ebod Jaya, iaitu sebuah persatuan pencinta burung terbesar di Indonesia itu merupakan satu penghargaan bagi pihak penganjur kerana kehadiran mereka pada pertandingan itu adalah untuk memantau pengendalian, pentadbiran dan penghakiman semasa pertandingan dijalankan.

pg10_160502_d

“Berbanding dengan pertandingan sebelumnya yang mendatangkan para hakim dari Sabah, Malaysia, pada pertandingan kali ini kami mendapatkan khidmat pada hakim tempatan yang sentiasa mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada sahabat kami dari Indonesia,” kata beliau.

Sementara itu Jhon Biver ketika ditanya mengenai pertandingan itu, berkata kehadiran mereka adalah untuk melihat sendiri perkembangan hobi memelihara burung di negara ini dan bertukar-tukar informasi dalam kalangan peminat burung tanah air dan Indonesia.

Beliau berpendapat, perkembangan hobi memelihara burung di negara ini begitu menggalakkan dan hampir sama dengan minat dan keghairahan yang ditunjukkan oleh pencinta burung di Indonesia.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa jenis dan kategori burung yang dipertandingkan di negara ini masih lagi sedikit, iaitu tiga jenis burung berbandingkan dengan 12 jenis burung yang dipertandingkan di negara beliau.

Beliau seterusnya berharap sistem pertandingan yang dijalankan di negara ini diperbaiki lagi supaya dapat menarik lebih ramai penyertaan di kalangan pencinta burung agar dapat berkumpulan dan bertukar-tukar fikiran.

Beliau seterusnya berharap supaya penggemar burung di negara ini dapat maju selangkah lagi dan memikirkan mengenai pembiakbakaan burung-burung yang dipertandingkan bagi mengembangkan lagi sukan itu dari peringkat kebangsaan ke peringkat antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA