Pertandingan suara burung anjuran MPK Wasan

Pertandingan suara burung anjuran MPK Wasan

Oleh Haji Rosaimi bin Haji Lamit

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Wasan, Mukim Pengkalan Batu baru-baru ini telah mengadakan Pertandingan Seni Suara Burung 2016 yang berlangsung di Taman Mini Perayaan Kampung Parit, Mukim Pengkalan Batu.

Pertandingan buat kali kedua ini disertai kira-kira 278 peserta, yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu burung murai kampung/ kalijiau, burung murai batu kepala hitam dan burung murai batu kepala putih.

Dalam pertandingan seni suara burung murai kampung/kalijiau, juara disandang oleh Awang Erik dengan 314 mata, tempat kedua dimenangi Awang Mirza dengan 304 mata dan Awang Mohd Anas Abdullah di tempat ketiga dengan memperolehi 298 mata.

Sementara itu, bagi burung murai batu kepala hitam pula, juara disandang oleh Madun dengan 303 mata, Awang Edi Ktm di tempat kedua dengan 302 mata dan Awang Yahya bin Lahap di tempat ketiga dengan 301 mata.

Gambar ramai para pemenang pertandingan.
Gambar ramai para pemenang pertandingan.

Bagi kategori burung murai kepala putih, Awang Ramon dengan 306 mata muncul juara, diikuti Awang Mawee di tempat kedua dengan 304 mata dan Awang Mohd Aqeem di tempat ketiga dengan 300 mata.

Sementara itu gelaran pemenang keseluruhan pula telah disandang oleh Awang Ramon.

Hadir menyampaikan hadiah-hadiah ialah Ketua Kampung Masin yang juga Pemangku Ketua Kampung Wasan, Awang Moksin bin Haji Kamis.

Menurut Pengerusi Penganjur Pertandingan, Awang Nawi bin Ma’arof, pertandingan antara lain bertujuan untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan di samping mengeratkan silaturahim sesama penggemar burung.

ARTIKEL YANG SAMA