Pertandingan Tamiya di KBSentral Ahad ini

Pertandingan Tamiya di KBSentral Ahad ini

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 23 Okt – Bagi para peminat permainan kereta mini Tamiya 4WD, SUPERSONIC akan menganjurkan pertandingan ‘Super Speed Tamiya’ bagi memilih seorang pemenang yang akan layak bertanding di Jepun nanti bersama-sama para peserta antarabangsa termasuk Indonesia dan Malaysia.

Pertandingan yang ditaja oleh Nanyang Photo Trading Company dengan kerjasama KBSentral Shopping Centre ini akan bermula pada Ahad (25 Oktober) jam 12 tengah hari hingga 10 malam di Atrium Pusat Beli-Belah KBSentral, Jalan Maharaja Setia, Kampung Mumong A, Kuala Belait.

Menurut kenyataan daripada penganjur di sini, hari ini, seramai 32 peserta dipilih untuk bertanding dalam Kategori Terbuka dan hanya seorang pemenang bertuah akan dipilih untuk menerima hadiah ulang-alik penerbangan ke Jepun dengan tempat penginapan yang percuma.

Sementara itu, lapan pemenang teratas yang lain akan mendapat hadiah sagu hati tajaan Times Cineplex Sdn Bhd dan Nanyang Photo Trading Company.

Pertandingan permainan kereta mini Tamiya 4WD bakal diadakan di Atrium Pusat Membeli-Belah KBSentral Ahad ini.
Pertandingan permainan kereta mini Tamiya 4WD bakal diadakan di Atrium Pusat Membeli-Belah KBSentral Ahad ini.

Dalam pertandingan ini, kesemua para peserta kereta Tamiya akan diperiksa kenderaannya supaya mematuhi peraturan antarabangsa Tamiya 4WD.

“Perlumbaan Mini 4WD ini tidak mengira mengenai siapa yang paling cepat sahaja malah ia juga tentang mempunyai teknik ‘set-up’ yang baik dan yang paling penting adalah persaingan yang adil di antara sesama sendiri,” kata salah seorang jurucakap SUPERSONIC.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan Tamiya ini, bolehlah melayari laman sosial Facebook Sentral Shopping Centre atau Instagram @kbsentral.