Pertelingkahan Iran-Arab Saudi rumitkan OPEC

Pertelingkahan Iran-Arab Saudi rumitkan OPEC

PARIS, 6 Jan (AFP) – Meningkatnya ketegangan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi menambah bebanan baharu ke atas kesepakatan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang sedang bergelut dengan harga minyak rendah, kata pakar.

Walaupun OPEC mengeluarkan satu pertiga minyak dunia, pakatan itu berdepan masalah dengan nilai minyak mentah yang menjunam sehingga 60 peratus sejak pertengahan tahun lalu untuk turun di bawah AS$40 setong.

Merangka jalan ke hadapan menjadi semakin sukar selepas Arab Saudi menghukum mati ulama terkenal Syiah, Nimr al-Nimr, sekali gus mencetuskan perbalahan bersama Iran.

“Apa yang berlaku sekarang antara Iran dan Arab Saudi menjadikan kompromi bertambah sukar,” kata Presiden penerbitan Strategy and Energy Policy, Francis Perrin.

Negara Teluk, yang dipimpin oleh pengeluar terbesar OPEC, Arab Saudi enggan mengurangkan pengeluaran melainkan negara pengeluar bukan anggota bersetuju berbuat demikian.

Pengurangan pengeluaran akan membantu menaikkan harga minyak.

Walaupun Arab Saudi setakat ini bertahan dengan pendiriannya, tindakan itu memberikan tekanan kewangan kepada 13 negara OPEC termasuk Algeria, Venezuela dan Nigeria yang menjana hampir seluruh pendapatannya daripada komoditi berharga itu.

Dalam pada itu, Iran yang juga sebahagian negara OPEC tidak berhasrat mengurangkan pengeluarannya sebaik saja sekatan Barat yang dikenakan ke atas negara itu berakhir. Ia akan membolehkan Iran meneruskan eksport minyak mentah.