Pertembungan bintang dunia

Pertembungan bintang dunia

SANTIAGO, Chile, 10 Jun (AFP) – Ketika naib juara Piala Dunia 2014, Argentina dianggap pilihan untuk menamatkan kemarau 22 tahun menjuarai Copa Amerika, cabaran negara lain ketika kejohanan membabitkan benua Amerika Selatan tidak boleh dipandang rendah.

Dianggap satu daripada kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia, Copa Amerika akan menyajikan pertembungan membabitkan antara bakat-bakat terbaik dunia seperti Lionel Messi, Neymar, James Rodriguez, Alexis Sanchez dan Edinson Cavani.

Kempen kejohanan yang membabitkan 12 pasukan terbaik Amerika Selatan itu bermula apabila tuan rumah, Chile bertemu menentang Ecuador, Jumaat ini dalam aksi Kumpulan A.

Selain Argentina yang terus kempunan kejuaraan di peringkat antarabangsa, Brazil yang menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun lalu dan turut berdepan detik perit jelas mahu ia dipadamkan dengan kejayaan di Copa.

Berganding dalam kesebelasan utama Barcelona yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, Messi dan Neymar akan berentap sesama sendiri dengan kedua-dua bintang yang menggunakan jersi nombor 10 ini memikul tugas berat terhadap negara masing-masing.

Calendar with fixtures for the Copa America

pg21_150611_a

Tampil cukup cemerlang bersama Barcelona, kali terakhir Messi mengucup kejayaan bersama Argentina ialah ketika memenangi pingat emas Sukan Olimpik di Beijing, China pada 2008.

Kali terakhir Argentina memenangi trofi Copa pula ialah pada 1993 dan ketika menjadi tuan rumah pada 2011, Messi diejek penyokong sendiri buat pertama kali sepanjang kariernya selepas disingkirkan Uruguay di suku akhir.

“Sasaran kami adalah untuk memenangi kejohanan tahun ini,” kata Messi. Argentina membuka kempen kali ini menentang Paraguay pada Ahad dan di atas kertas, mereka seharusnya tidak mempunyai masalah untuk memulakan saingan Kumpulan B itu dengan langkah kanan.

Begitupun, lawan berikutnya ialah penyandang juara, Uruguay dan Jamaica. Uruguay sekalipun tanpa khidmat penyerang, Luis Suarez yang juga rakan sepasukan Messi di Barca, ancaman mereka tidak boleh dipandang rendah, malah peledak utamanya dalam kempen kali ini, Cavani bukan calang-calang pemain.

Ketika membantu gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menjulang tiga piala musim ini, Cavani menjaringkan 31 gol yang mencetus khabar angin penghijrahannya ke Manchester United.

Brazil dengan bintang utamanya, Neymar akan memulakan kempen menentang Peru dalam aksi Kumpulan C pada Isnin.

Begitupun cabaran terbesar juara dunia lima kali itu dilihat hadir daripada Colombia pada 18 Jun yang dianggap perlawanan ulangan Piala Dunia tahun lalu.

Diperkuatkan dengan bintang sensasi Real Madrid, James, Colombia jelas tidak akan memberi laluan mudah kepada Brazil dan lawan lain di Copa kali ini.

ARTIKEL YANG SAMA