Pertembungan gergasi dua negara

Pertembungan gergasi dua negara

PARIS, 10 Julai – Final Euro 2016 antara tuan rumah Perancis dan Portugal awal pagi esok menyaksikan pertembungan antara pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo dan bintang meningkat naik, Antoine Griezmann.

Selepas 50 perlawanan sepanjang sebulan lalu yang menyaksikan Iceland dan Wales mencipta kejutan, Ronaldo kini mengharapkan satu lagi kemenangan untuk menamatkan kemarau trofi bersama negaranya.

Walaupun tidak berdepan pasukan pilihan seperti Sepanyol dan Jerman, Portugal perlu menampilkan permainan terbaiknya untuk menewaskan Perancis yang mendapat inspirasi baru daripada Griezmann – penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.

Kedua-dua pengendali, Didier Deschamps (Perancis) dan Fernando Santos (Portugal) masing-masing cuba melindungi pasukan daripada harapan tinggi rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Deschamps yang menjadi kapten Perancis ketika muncul juara Piala Dunia 1998 dan Euro 2000, berkata dia dapat merasakan debaran menjelang aksi final itu.

“Ia saat yang luar biasa, satu keistimewaan, peluang yang unik kerana ada kejuaraan di penghujungnya,” kata Deschamps.

“Apa yang anda perlukan ialah mengharunginya setenang mungkin dan pada masa sama memberi tumpuan kepada perlawanan.

“Di atas bangku simpanan, terdapat kekecewaan kerana tidak dapat ikut serta, tetapi saya tidak dapat mengatasinya. Namun saya tiada masalah, saya tidak merasakan tekanan, hanya adrenalin dan ia sesuatu yang positif.”

Anak buah Santos pula mengharungi perjalanan ke final dengan perlahan-lahan membentuk corak permainan yang diterajui bintang mereka, Ronaldo.

Walaupun hanya satu kemenangan diraih dalam tempoh 90 minit permainan – 2-0 ke atas Wales di separuh akhir Portugal kini dilihat sebagai lawan seimbang buat Perancis.

“Biarlah mereka terus berkata-kata yang Portugal menang kerana nasib,” kata Santos. “Saya akan lebih gembira jika mereka mengatakannya esok. Saya akan pulang dengan penuh kegembiraan.”

Portugal menanam impian untuk memadamkan kekecewaan final Euro 2004 di laman sendiri apabila tewas 1-0 di tangan Greece dan berharap kekecewaan itu akan beralih kepada Perancis pada final kali ini. – AFP