Pertempuran Aleppo semakin hebat

Pertempuran Aleppo semakin hebat

ALEPPO, Syria, 4 Mei (AFP) – Pertempuran sengit berlaku semalaman di pinggir bandar kedua Syria, Aleppo selepas serangan besar pihak pemberontak, menurut seorang pemberita AFP hari ini.

Gabungan kumpulan pembangkang yang berjuang di bawah nama “Fatah Halab” atau Aleppo Conquest telah melancarkan serangan ke atas pasukan Presiden Bashar al-Assad dengan bom bawah tanah semalam.

Para pejuang pemberontak pada awalnya mara dari pinggir barat bandar itu memasuki daerah yang dikuasai kerajaan tetapi diundurkan pada pagi hari ini, menurut Pemerhati Hak asasi Kemanusiaan Syria.

Ketua pemerhati itu, Rami Abdel Rahman berkata pertempuran itu adalah ‘paling ganas di Aleppo dalam tempoh setahun.”

Pemerhati di Britain tidak mempunyai butiran tentang bilangan penggempur yang terbunuh.

Kesan-kesan pertempuran semalaman di Aleppo. - AFP
Kesan-kesan pertempuran semalaman di Aleppo. – AFP

Pertempuran sengit berlaku sepanjang malam, dengan bedilan meriam dan serangan udara kedengaran di seluruh metropolis itu, menurut wartawan AFP di bandar itu.

Serangan udara ke atas kawasan timur yang dikuasai pemberontak berkurangan apabila kapal terbang kerajaan menumpu pada pertempuran di barat, menurutnya lagi.

Menjelang pagi, pertempuran telah senyap tetapi para penduduk yang keletihan tidak menjangkakan keadaan tenang bagi tempoh lama.

“Saya tidak fikir serangan udara akan berhenti kerana keputusan untuk menghentikan pertempuran bukan di tangan Assad, ia di tangan sekutunya, Rusia,” kata Mahmoud Sendeh, aktivis berusia 26 tahun di daerah timur Aleppo.

“Sehingga kini, nampaknya seolah-olah Rusia tidak mahu ketenangan kembali di Aleppo,” Sendeh memberitahu AFP.

Pertempuran baru di Aleppo hampir dua minggu itu telah mengorbankan lebih 270 orang awam.

Pagi ini, tiga orang awam terbunuh dan seorang cedera apabila roket pemberontak mendarat di kawasan yang dikuasai rejim, lapor agensi berita kerajaan, SANA.

ARTIKEL YANG SAMA