Pertempuran baru di Al-Aqsa

Pertempuran baru di Al-Aqsa

BAITULMUQADDIS, 28 Sept (AFP) – Pertempuran baru meletus pada pagi ini di antara polis Israel dan penduduk Palestin di perkarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, kata seorang wartawan AFP, dengan masalah seterusnya dikhuatiri akan timbul pada minggu-minggu akan datang sebelum penduduk Yahudi meraikan cuti Sukkot.

Polis menembak gas pemedih mata dan bom tangan, sementara pembantah muda bertopeng yang menjamin sehari awal untuk ‘mempertahankan’ Al-Aqsa melontarkan batu sebelum mempertahankan diri mereka dengan berkurung di dalam masjid itu, lapor jurnalis AFP.

Menurut polis, pembantah Palestin yang bersedia untuk “mempertahankan” masjid ketika perayaan Yahudi Sukkot selama lapan hari, menyimpan batu di dalam tempat suci dan merancang tidur di dalamnya.

Sumber dalam persatuan milik Jordan yang mentadbir tapak itu, Waqf memberitahu AFP yang polis melontar bom tangan yang mencetuskan empat kebakaran di dalam bangunan yang kemudian dapat dikawal.

Persatuan Palang Merah Palestin melaporkan 22 orang cedera, dengan tiga lagi dimasukkan ke hospital selepas terkena peluru getah, termasuk seorang yang terkena di wajah semasa berada di dalam masjid.

Polis mengatakan rundingan untuk mengarahkan para pemuda itu pergi telah gagal, mengakibatkan mereka tidak ada pilihan lain selain melakukan serangan untuk menghindarkan mereka dari mengganggu lawatan ke tapak itu.

Berpuluh-puluh pegawai telah dikerahkan ke tempat tersebut sehingga di bumbung masjid.

Jemaah Islam yang berada di perkarangan itu selepas solat subuh ketika serbuan bermula telah dipaksa pergi oleh polis dan semua pagar yang digunakan oleh orang Islam untuk memasuki tapak itu telah ditutup. Sebilangannya masih berada berhampiran pagar dan menjerit bantahan.

Al-Aqsa, tapak ketiga paling suci dalam Islam, juga merupakan tempat paling suci dalam agama Yahudi. Penduduk Yahudi dibenarkan melawat tetapi bukan untuk bersolat untuk mengelak daripada mencetuskan ketegangan.

Penduduk Islam telahpun berasa bimbang dengan pertambahan dalam lawatan oleh penduduk Yahudi dan bimbang peraturan yang mengawal perkarangan akan berubah.

Minggu terbaru telah melihat beberapa siri cuti Yahudi di mana terdapatnya pertambahan dalam kunjungan oleh penduduk Yahudi yang telah mencetuskan pertempuran. Keadaan yang sama dikhuatiri akan berlaku ketika perayaan Sukkot.

Penduduk Yahudi merai Sukkot, atau Feast of Tabernacle, untuk memperingati perjalanan mereka di tanah gersang Sinai ke Tanah Suci selepas Penghijrahan Besar-besaran mereka daripada perhambaan Mesir.