Pertempuran Cyber 18 September ini

Pertempuran Cyber 18 September ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – ITPSS Sdn Bhd, selaku pakar keselamatan IT tempatan, akan menganjurkan pertandingan Cyber Battle: Capture The Flag ke-2 yang akan diadakan pada 18 September depan.

Diadakan bagi mengetengahkan kepentingan keselamatan siber dan keperluan meningkat bagi pakar-pakar keselamatan maklumat di Brunei Darussalam, pertandingan itu akan menyaksikan 10 pasukan menguji kemahiran mereka dalam mencari dan mempergunakan kelemahan pada server-server permainan yang direka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertandingan adalah berdasarkan gaya Jeopardy dan pasukan-pasukan akan diperlukan untuk menyelesaikan cabaran-cabaran yang merangkumi web, crypto, eksploitasi, forensik digital dan analisis paket.

Cabaran-cabaran adalah berdasarkan senario IT sebenar dan para peserta perlu menunjukkan teknik-teknik analisis mereka dalam menyelesaikan cabaran-cabaran tersebut.

Penganalisis Keselamatan IT di ITPSS, Awang Fadillah Umar dipetik sebagai berkata, Cyber Battle menawarkan peluang unik kepada belia tempatan untuk mengasah kemahiran mereka dalam bidan keselamatan IT.

“Dua pasukan pemenang akan diberi penghormat untuk mewakili Brunei Darussalam pada peringkat antarabangsa, Cyber SEA Games 2016 di Bali, pada 29 September,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, di samping mewakili Brunei ke Cyber SEA Games 2016, hadiah-hadiah yang ditawarkan termasuk gajet-gajet seperti iPad Pro, kamera DJI Osmo dan pembesar suara bluetooth Bang & Olufsen Beoplay A2.

Sehubungan itu, ITPSS mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menyertainya, yang mana ia dibuka kepada rakyat dan penduduk tetap Brunei berusia 30 tahun ke bawah.

Peserta mestilah menyertai pertandingan secara berpasukan, dua atau tiga orang ahli, dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Ogos.

Bagi maklumat lanjut dan untuk mendaftar boleh melayari laman sesawang www.itpss.com/cyberbattle2016.

ARTIKEL YANG SAMA