Pertempuran di Charlotte berterusan di hari kedua

Pertempuran di Charlotte berterusan di hari kedua

CHARLOTTE, 22 Sept – Pada malam kedua pertempuran di Charlotte, Carolina Utara semalam mengakibatkan seorang penunjuk perasaan berada dalam keadaan kritikal, keganasan terbaru yang menyebabkan gabenor untuk mengisytiharkan darurat.

Gabenor Pat McCrory berkata di Twitter bahawa dengan mengisytiharkan darurat, beliau telah mengarahkan pegawai Pengawal Kebangsaan dan Pegawai Peronda Lebuh Raya untuk membantu penguatkuasaan undang-undang tempatan.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan keganasan. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kemusnahan harta benda dan tidak akan bertolak ansur dengan serangan ke arah pegawai polis kita yang berlaku sekarang, dan saya merasakan itu,” kata gabenor memberitahu CNN. “Itu bukan cara Amerika.”

Ratusan orang mengejek polis rusuhan semalam di tengah-tengah pertempuran di pusat bandar itu, pada malam kedua pergolakan yang dinyalakan oleh tembakan polis yang membawa maut kepada seorang lelaki hitam.

Seorang penunjuk perasaan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan sokongan hidup, kata datuk bandar itu, selepas laporan sebelum ini mengatakan mangsa telah meninggal dunia.

Pasukan polis Charlotte-Mecklenburg dan penunjuk perasaan bergelut di persimpangan Epicentre di Charlotte, Carolina Utara, kelmarin. - AP
Pasukan polis Charlotte-Mecklenburg dan penunjuk perasaan bergelut di persimpangan Epicentre di Charlotte, Carolina Utara, kelmarin. – AP

Pihak berkuasa telah berkata penunjuk perasaan itu ditembak oleh orang awam, sambil menambah polis tidak melepaskan tembakan secara terbuka.

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian bantahan di luar hotel Omni Charlotte melihat seorang lelaki telah ditembak jatuh ke tanah, dan mengalami pendarahan yang teruk.

Sebahagian penunjuk perasaan memecahkan tingkap-tingkap kaca, ada yang berdiri di atas kereta dan membaling objek ke arah polis. Polis melepaskan gas pemedih mata, membuat penunjuk perasaan berkeliaran.

“Kami sedang berusaha untuk membawa keamanan ke bandar kami. Kami tahu ini bukan Charlotte yang sebenar,” kata Datuk Bandar, Jennifer Roberts di CNN, menyeru orang ramai untuk tinggal di rumah dan tidak berada di jalanan. “Beritahu kepada semua bahawa keganasan bukanlah jawapannya,” katanya.

Roberts menambah bahawa pihak berkuasa akan mempertimbangkan solusi lain jika keganasan terus memuncak, “mungkin perintah berkurung dan perkara seperti itu, tetapi sekarang, kami terus bekerjasama dengan apa yang kita ada pada malam ini.”

Keith Lamont Scott, 43, ditembak mati di sebuah apartmen kompleks tempat letak kereta pada hari Selasa lalu selepas pertemuan dengan pegawai-pegawai polis untuk mencari suspek yang dikehendaki bagi penangkapan.

Enam belas pegawai dan beberapa penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran semalaman Selasa lalu berikutan kematian Scott, insiden terbaru dalam rentetan pembunuhan polis yang melibatkan lelaki hitam yang telah menjana kemarahan di seluruh Amerika Syarikat.

Polis Charlotte menulis dalam tweetnya bahawa empat pegawai cedera pada malam hari kedua rusuhan semalam, tetapi berkata tiada kecederaan yang mengancam nyawa. – AFP