Pertempuran di Myanmar, 12 maut

Pertempuran di Myanmar, 12 maut

YANGON, 12 Okt – Dua belas orang meninggal dunia di utara negeri Rakhine, Myanmar dalam pertempuran antara lelaki-lelaki bersenjata dan pasukan tentera, lapor media kerajaan hari ini, dalam keganasan yang berterusan di rantau bertikai itu.

Empat orang tentera dan seorang penyerang terbunuh semalam apabila beratus-ratus orang lelaki bersenjatakan pistol dan pedang menyerang pasukan tentera di Pyaungpit, perbandaran Maungdaw, sebuah kawasan yang majoriti penduduknya adalah Rohingya yang beragama Islam.

Pasukan tentera juga memberikan angka kematian tujuh orang selepas pertempuran di kampung berhampiran, Taung Paing Nyar, dalam kemas kini bilangan sebelumnya.

Pihak tentera telah menggeledah rantau itu yang tidak jauh dari sempadan dengan Bangladesh, selepas sembilan pegawai polis terbunuh Ahad lalu dalam serangan terancang di tiga pos kawalan sempadan.

Kekacauan telah membangkitkan bayangan mengerikan yang berulang terhadap kejadian 2012 apabila keganasan sektarian mencengkam Rakhine, membunuh lebih 100 orang dan berpuluh-puluh ribu orang Rohingya terpaksa lari ke kem-kem pemindahan.

Rohingya dalam dan di luar kem-kem yang kotor berdepan pengetatan teruk ke atas pergerakan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan asas, dengan kumpulan hak asasi menyifatkan mereka adalah salah satu kumpulan orang yang paling dianiaya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA