Pertemuan diplomat, tamatkan krisis Syria

Pertemuan diplomat, tamatkan krisis Syria

VIENNA, 29 Okt (AFP) – Peserta utama dalam usaha diplomatik untuk menamatkan peperangan Syria dijangka bertemu pada hari ini untuk mencari dasar umum mengenai peralihan politik, sebelum kemunculan Iran untuk kali pertama pada rundingan antarabangsa mengenai konflik berkenaan.

Diplomat tertinggi dari Rusia, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Turki akan mengadakan rundingan pusingan kedua mengenai Syria dalam masa kurang seminggu, sebelum mesyuarat lebih besar peserta serantau, termasuk Iran, esok.

Menteri Luar Iran Javad Zarif akan menyertai wakil dari Britain, Mesir, Perancis, Jerman, Itali, Lubnan dan Kesatuan Eropah tatkala komuniti antarabangsa berusaha menamatkan pertumpahan darah selama empat tahun.

Ia adalah kali pertama semua peserta utama dalam konflik berbincang dalam bilik yang sama, walaupun ia tidak menyebut kerajaan Syria atau pembangkang yang akan hadir.

Kemasukan Iran- sekutu utama Presiden Syria Bashar al-Assad – dalam mesyuarat pada minggu ini menandakan peralihan penting selepas Tehran dikecualikan daripada rundingan sebelumnya, terutamanya disebabkan tentangan daripada Washington dan Riyadh.

Setiausaha Negara AS John Kerry mengingatkan bahawa rundingan pada minggu ini tidak akan mencapai satu penyelesaian politik segera, namun melambang harapan terbaik yang ada.

Pejabat Luar Britain berkata Amiriah Arab Bersatu, Qatar dan Jordan juga akan hadir esok. Washington sedang bertelagah dengan Moscow berhubung Syria, menuduh tentera Rusia menumpu kempen udara mereka di sana ke atas kumpulan pembangkang yang menentang pemerintahan Assad.

ARTIKEL YANG SAMA