Pertemuan Duta Besar & peserta Qari

Pertemuan Duta Besar & peserta Qari

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Duta Besar Republik Turki ke negara ini, Tuan Yang Terutama Fikret Oguz Ates telah mengadakan pertemuan sekali gus majlis ramah mesra bersama peserta Qari yang menyertai Pertandingan Membaca dan Menghafaz Ayat-Ayat Suci Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Istanbul, Turki, baru-baru ini.

Rombongan seramai empat orang itu terdiri daripada dua wakil negara, Awang Muhammad Najib bin Haji Aliakbar dan Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya termasuk Pengurus Rombongan iaitu Haji Idris bin Haji Aji dan Pembimbing, Haji Ismail.

Semasa pertemuan itu, TYT Fikret Oguz Ates mengucapkan tahniah kepada para peserta kerana dapat mengharumkan nama negara, walaupun tidak menjuarai pertandingan namun membawa kejayaan yang membanggakan apabila berada di antara sepuluh teratas.

Awang Mohammad Najib menyertai Kategori Menghafaz 30 Juz, manakala Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya bertanding bagi Kategori Membaca Al-Qur’an secara berlagu.

Haji Nasrul Fakhri ketika ditemui berkata, beliau telah membuat persediaan awal bagi mengikuti pertandingan berkenaan dengan berlatih bersama pembimbing Haji Ismail yang diadakan di Jabatan Kemajuan Syiar Islam namun masih perlu memperbaiki bacaan untuk mencapai apa yang diharapkan.

Rombongan Qari ketika bergambar ramai bersama TYT Fikret Oguz Ates dan warga Kedutaan Turki di majlis ramah mesra.
Rombongan Qari ketika bergambar ramai bersama TYT Fikret Oguz Ates dan warga Kedutaan Turki di majlis ramah mesra.

Semasa ditanya mengenai harapannya, beliau menjelaskan, setiap peserta yang menyertai apa jua pertandingan setentunya mengharapkan kemenangan dan begitu juga bagi dirinya yang ingin meraih kemenangan semasa pertandingan pada waktu itu.

“Kami perlu latihan dan persiapan lebih awal lagi nanti dan Duta Besar Turki juga menasihatkan untuk lebih bersiap sedia sebelum bertanding, bukan saja dari segi latihan akan tetapi kesihatan, waktu rehat harus cukup agar hati tenang, fikiran tenang dan Insyallah akan mendapat apa yang diharapkan,” ujarnya Haji Nasrul lagi yang merupakan bekas pelajar dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan pernah dua kali mewakili pertandingan antarabangsa seumpamanya di Kuwait dan Iran.

Sementara itu, Awang Muhammad Najib, mahasiswa di Universiti Al-Azhar Mesir menjelaskan, pertandingan itu merupakan penyertaan keempat beliau dan turut melahirkan harapan agar dapat membuat yang terbaik dan meraih kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Pertandingan Membaca dan Menghafaz Ayat-Ayat Suci Al-Qur’an Peringkat Antarabangsa di Istanbul merupakan kali pertama disertai oleh Negara Brunei Darussalam atas jemputan Kerajaan Istanbul.

Dalam perjumpaan ini juga, TYT Fikret Oguz Ates juga mengetengahkan mengenai dengan pendidikan dan ekonomi yang mana pada ketika ini kerajaan Turki telah menyediakan biasiswa penuh kepada dua pelajar dari Brunei Darussaam untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang keislaman.

Kedua-dua pelajar yang diberikan biasiswa penuh itu mempunyai rekod pendidikan yang sangat baik dan cemerlang serta sebelum memulakan pembelajaran mereka, kedua-dua pelajar telah diberi kursus Bahasa Turki selama dua tahun dan seterusnya barulah memulakan pembelajaran di universiti ternama di Turki.

Dengan adanya perjumpaan bersama peserta qari dan juga media, diharapkan akan dapat mendedahkan maklumat dan pengetahuan lagi tentang Negara Turki yang mana pada masa ini sedang membangun dengan aman dan tenteram.

TYT Fikret Oguz Ates juga mengalu-alukan rakyat negara ini untuk berkunjung ke Turki dan mengenalinya dengan lebih dekat sebagai destinasi pendidikan dan pelancongan amnya, dan tidak ketinggalan juga mengeratkan lagi hubungan baru dari kedua-dua buah negara.

Mengenai dengan hubungan ekonomi antara Turki dan Brunei, Kerajaan Turki melalui Duta Besar Republik Turki akan mengumumkan ‘kejayaan besar’ dalam bidang perdagangan antara Kerajaan Turki dan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA